Skip to main content

Rencana

Cheng Hoe pilihan terbaik

tan-cheng-hoe.jpg
Baru-baru ini, Nadi Arena melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, untuk turut mengendalikan skuad B-22 negara.

Bagi penulis, jika sah Cheng Hoe mengendalikan kedua-dua skuad senior dan B-22, ia adalah satu yang positif kerana ia akan turut memudahkan peralihan pemain muda daripada skuad B-22 ke barisan senior negara.

Sudah pasti Cheng Hoe akan turut menggunakan falsafah serta formasi sama, iaitu 4-3-3 dan kita akan menyaksikan corak permainan sama daripada skuad senior dan B-22 negara selepas ini.

Jawatan ketua jurulaith skuad B22 kini kosong selepas kontrak Datuk Ong Kim Swee tidak dilanjutkan FAM ekoran kegagalan dalam temasya Sukan SEA 2019 lalu serta kegagalan mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23.

Kim Swee sebelum ini lebih gemar menggunakan formasi 3-4-3 yang menyaksikan skuad negara meraih perak Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur serta mara ke pusingan 16 Sukan Asia Indonesia 2018.

Meskipun Kim Swee mempertahankan penggunaan formasi itu selepas kegagalan dalam Sukan SEA Filipina, hakikatnya barisan muda negara gagal menyerlah dan turut gagal ke separuh akhir.

Sudah pasti FAM perlu membuat keputusan tepat dalam pelantikan jurulatih skuad B-22 dan terdapat juga pandangan pemerhati yang mencadangkan pengambilan jurulatih import.

Tetapi penulis beranggapan lebih baik Cheng Hoe menjadi pilihan kerana pengendali kelahiran Kedah itu juga mampu menerapkan corak permainan mengikut acuan DNA bola sepak Malaysia seperti yang dicanang FAM sebelum ini.

Selain itu, skuad B-22 tidak ada tugasan antarabangsa pada 2020 dan buat masa ini, Cheng Hoe boleh fokus tugasan getir bersama skuad senior dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pengendali Thailand, Akira Nishino, dan jurulatih Vietnam, Park Hang Seo, turut mengendalikan skuad B-22 pasukan masing-masing bagi memastikan kesinambungan yang baik buat pemain mereka.

Sebelum ini, FAM juga pernah memberi tugasan skuad senior dan B-22 buat bekas pengendali negara, Datuk K. Rajagobal, yang menyaksikan barisan negara meraih emas Sukan SEA 2009 di Laos serta kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010.

Ketika itu juga, Cheng Hoe adalah penolong kepada Rajagobal dan penulis optimis dia akan bersedia untuk menerima tugasan tambahan ini.


Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video