Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

Bundesliga menanti juara baru?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

48130895_303.jpg
Sejak tahun 2010, hanya nama Bayern Munich dan Borussia Dortmund tercatat sebagai juara liga divisyen utama Jerman, Bundesliga. Wolfsburg muncul kelab terakhir meraih kejuaraan itu dalam musim 2008-09 sebelum didominasi dua pasukan gergasi berkenaan.

Dalam tempoh itu, lapan daripada kejuaraan berkenaan menjadi milik Bayern manakala Dortmund menjadi juara bagi dua musim berturut-turut (2010-11 dan 2011-12).

Dan buat kali pertama sepanjang tempoh itu, RB Leipzig menamatkan penguasaan dua pasukan berkenaan untuk mengakhiri separuh pertama musim ini di kedudukan teratas untuk secara tidak rasmi memberikan mereka gelaran 'herbstmeisterschaft' (saingan musim luruh).

Tangga kedua pula diisi oleh Borussia Monchengladbach, yang ketinggalan dua mata di belakang Leipzig.

Bayern sekadar menduduki tangga ketiga dengan perbezaan empat mata di belakang pendahulu liga itu manakala Dortmund satu anak tangga di bawah dengan ketinggalan tiga mata di belakang Bayern -- berkongsi pungutan mata yang sama dengan Schalke.

Setakat 17 perlawanan, Bayern tewas empat kali dan seri sebanyak tiga kali dengan kekalahan besar 1-5 kepada Eintracht Frankfurt, 2 November lalu, menjadi punca mereka memecat bekas pengurus, Niko Kovac.

Di sebalik ketidaktentuan prestasi Bayern itu, seteru utama mereka, Dortmund, masih gagal memanfaatkan kelebihan itu.

Daripada 17 perlawanan musim ini, enam daripadanya berakhir seri manakala tiga lagi tewas buat skuad kendalian Lucien Favre itu.

Ia membuka ruang buat Leipzig dan Monchengladbach mencipta kejutan untuk mendominasi dua tangga teratas.

Namun, ia baru cerita mengenai separuh pertama musim ini dan separuh musim kedua, yang akan bermula 18 Januari ini, pasti menyajikan sesuatu yang berbeza.

Jika dilihat kepada kedudukan Bundesliga ketika ini, jurang di antara pasukan di tangga ketujuh, Hoffenheim, dan Leipzig hanya dibezakan 10 mata.

Persaingan pasti menjadi semakin sengit selepas ini dan seandainya satu juara baru dinobatkan -- selain Bayern dan Dortmund -- ia pasti akan menamatkan pandangan skeptikal dengan membuktikan Bundesliga adalah salah satu liga di Eropah yang amat kompetitif.
 

Advertisement

Must Watch Video