Skip to main content

Rencana

Bayangkan bila Liverpool jadi juara Liga Perdana Inggeris

mane.jpg
Bayangan ini menjadi igauan buat setiap penyokong Manchester United termasuk diri saya yang terpaksa akur dengan kehebatan Liverpool pada waktu ini.

Selepas mengharungi 19 perlawanan liga, Liverpool masih belum tewas dan memiliki perbezaan kelebihan mata yang sihat berbanding dua pencabar terdekat Manchester City dan Leicester City.

2019 sahaja sudah menyaksikan The Reds menjulang tiga piala di peringkat Eropah bermula dengan Liga Juara-Juara dan terakhir Piala Dunia Kelab FIFA.

Aura Liverpool ketika ini menjadi cemburu setiap individu atau organisasi yang sebelum ini memandang enteng projek Jurgen Klopp.

Daripada penjaga gawang, pertahanan, bek kanan dan kiri sehingga penggempur yang terbaik dunia semuanya milik Liverpool.

Bekas kapten Man United dan pundit tersohor England, Gary Neville, pernah menyebut yang Liverpool tidak akan muncul juara liga dalam hayatnya.

Mungkin kali ini, Gary, anda silap seperti kami penyokong United yang lain.

Bila Liverpool muncul juara liga, sudah tidak boleh lagi seteru lain mengusik kemarau yang menghampiri tiga dekad.

Mahu menjadikan sejarah sebagai rujukan juga tidak mampu, kerana yang mengejek sudah menjadi sejarah.

Oleh yang demikian, terimalah hakikat, bukan soal boleh atau tidak tetapi bila Liverpool jadi juara liga.

Tapi ingat wahai Liverpool dan penyokongnya yang mendabik dada, ada 20 perlawanan lagi, jangan tergelincir di selekoh yang terakhir.
 

Advertisement

Must Watch Video