Skip to main content

Rencana

Baki 90 minit di Darulaman

kedah-fa_3.jpg
Dua gergasi bola sepak tanah air, Selangor dan Kedah masing-masing bertemu di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2017.

Ramai peminat bola sepak menyifatkan pertemuan membabitkan dua pasukan ini terlalu awal kerana kebiasaannya mereka akan berentap di final seperti yang berlaku pada musim 2015 dan 2016.

Dengan aksi suku akhir pertama memihak kepada skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff apabila menang dengan keputusan 2 – 3, hasil sentuhan Ken Ilso dan Syazwan Zainon, skuad Lang Merah tentunya mahu mempertahankan kelebihan yang dimiliki untuk aksi timbal balik di Stadium Darulaman nanti.

Manakala bagi skuad Red Giants, kesilapan mudah melepaskan dua gol pada babak pertama harus dijadikan pengajaran agar perkara sama tidak berulang.

Aksi di Stadium Selayang menyaksikan pemain Selangor gugup pada babak pertama sebelum kembali tampil garang pada babak yang kedua.Sedar bahawa Selangor perlu sekurang-kurangnya meledakkan dua gol di Darul Aman, pengendali Selangor P. Maniam tetap percaya dan menaruh harapan anak-anak buahnya mampu melakukan kebangkitan.

Jika Kedah menaruh harapan kepada tonggak import Liridon Krasniqi dan Ken Ilso yang beraksi baik di Selayang, Selangor pula dilihat masih bergantung harap kepada orang lama, Amri Yahyah yang dibantu Rufinho serta Andik Vermansyah bagi menggerakkan jentera serangan.

Pendedahan yang diberikan kepada pemain muda kedua-dua pasukan dalam perlawanan besar seperti ini turut menarik minat Dayang. Jika Selangor berani menurunkan Syahmi Safari dan Namathevan, Kedah pula meletakkan Ifwat Akmal dan Amirul Hisyam dalam kesebelasan utama.

Jika tidak silap Dayang, Selangor dan Kedah merupakan dua pasukan yang mempunyai semangat juang yang amat tinggi.

Selain pembangunan bola sepak akar umbi yang baik buat kedua-dua pasukan, pemain-pemain Merah Kuning dan Lang Merah turut terkenal dengan tidak mudah menyerah kalah. Jadi pertembungan di Darul Aman nanti pastinya menjanjikan perlawanan yang amat sengit.

Kredit foto: Laman Facebook Kedah FA - Persatuan Bola Sepak Kedah

Advertisement

Must Watch Video