Skip to main content

Rencana

Anda bijak, Griezmann

cover.jpg
Sebaik sahaja tamat saingan musim 2017/18, nama bintang Perancis, Antoine Griezmann, menjadi prospek hangat untuk berhijrah ke Barcelona susulan kejayaan menjulang trofi Liga Europa dan Piala Super Eropah bersama Atletico Madrid.

Walaupun sejak tahun lalu dia dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford untuk menyarung jersi Manchester United, Camp Nou tampak menjadi pilihan pemain berusia 27 tahun itu jika meninggalkan Atletico.

Bagaimanapun, dia ibarat melakukan 'pusingan U' apabila akhirnya membuat keputusan untuk kekal di Wanda Metropolitano dan menolak untuk menyertai skuad kendalian Ernesto Valverde itu menerusi perpindahan bernilai GBP87 juta (RM467 juta) sebelum bermula saingan Piala Dunia 2018.

Selepas beberapa bulan, akhirnya bekas tonggak Real Sociedad itu membuka mulut mendedahkan faktor utama yang membuatkannya memilih untuk tidak menyertai Barca walaupun sudah wujud bayangan gandingan berbisa bersama Lionel Messi, Luis Suarez dan Philippe Coutinho.



Griezmann menjelaskan dia tidak mahu berhijrah ke Camp Nou hanya untuk menjadi pilihan kedua di belakang Messi dan berasa dia berhak menerima penghormatan lebih besar di peringkat kelab walaupun mengakui sukar untuk dia menolak tawaran daripada juara bertahan LaLiga itu.

"Terdapat sebuah kelab di mana anda seorang pemain utama dan skuad dibina di sekeliling anda. Rakan sepasukan saya di Atletico melakukan segalanya, berbincang dengan saya dan kelab turut menaikkan gaji saya. 

"Beraksi sebagai leftenan buat Messi mungkin memainkan peranan," katanya.

Kenyataan daripada Griezmann itu membuktikan keinginannya mahu bergelar tarikan utama bersama kelab, sesuatu yang tidak akan dikecapi selagi Messi berada di Camp Nou.

Fakta itu mungkin lebih utuh jika melihat  situasi yang dihadapi oleh beberapa pemain seperti Zlatan Ibrahimovic, Arda Turan, Alexis Sanchez dan Paco Alcacer sebaik sahaja menyarung jersi Barcelona di dalam era Messi walaupun sebelum itu tampil cemerlang.



Griezmann setakat ini telah menyumbat enam gol dalam semua kejohanan buat Atletico bagi musim 2018/19 dan memimpin pasukannya menduduki tangga ketiga LaLiga, dipisahkan hanya satu mata di belakang Barca selaku pendahulu.

Usia 27 tahun semestinya satu peringkat umur yang terbaik buat mana-mana pemain bola sepak mengecapi tempoh terbaik dalam karier dan jika Griezmann meneruskan kecemerlangan seperti musim lalu, tidak mustahil dia akan bergelar bintang bersama kelab Eropah lain selain Atletico.

Advertisement

Must Watch Video