Skip to main content

Rencana

Alcacer: Kebangkitan anak Torrent (Bhg 1)

cover-photo.jpg
Dua musim hampir dilupakan, tiada siapa menyangka musim 2018/19 menjadi titik kebangkitan buat penggempur dari Sepanyol, Paco Alcacer.

Alcacer, atau nama sebenarnya, Francisco Alcacer Garcia, kini dilihat menemui semula sentuhan penyudah berbisa di depan gawang lawan sejak dipinjamkan daripada Barcelona ke Borussia Dortmund.

Walaupun kelibatnya seolah-olah tenggelam dalam dua musim sebelum ini disebabkan nama-nama besar di Barca seperti Lionel Messi dan Luis Suarez, Alcacer hanya memerlukan kurang daripada setengah musim untuk membuktikan keunggulannya di Signal Iduna Park.



Namun, tidak ramai peminat bola sepak yang menyedari bahawa ketajaman sentuhan penyerang berusia 25 tahun itu sudah mula dilihat ketika bersama Valencia.

Pemain kelahiran Torrent -- sebuah bandar yang terletak tujuh kilometer dari bandar Valencia itu -- meraih debut LaLiga bersama skuad Los Che pada 14 Januari 2012 tetapi hanya mengutip jaringan liga pertama di Stadium Mestalla pada 25 Januari 2014 ketika diikat seri 2-2 oleh Espanyol setelah kembali daripada tempoh pinjaman daripada Getafe.



Lebih manis, Alcacer semakin rancak memperkenalkan dirinya di Sepanyol apabila menyumbat gol kemenangan ketika Valencia menundukkan Barca 3-2 di Camp Nou, seminggu kemudian.

Selepas mencatat jumlah 24 gol dalam saingan liga bagi tempoh dua musim, akhirnya Alcacer membuat keputusan untuk menerima lamaran Luis Enrique yang mahukannya bersama Barcelona pada Ogos 2016.



Langit tidak selalunya cerah tatkala impian ingin menyarung jersi pasukan gergasi Eropah terlaksana.

Alcacer tidak mampu untuk melawan keampuhan trio serangan Barca bagi musim 2016/17 yang dibarisi Messi, Suarez dan Neymar sehingga menyebabkannya hanya tampil tujuh kali dalam kesebelasan utama dan sekadar mencatat enam gol.

Walaupun Neymar berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) pada musim berikutnya dan Ernesto Valverde hadir menggantikan Enrique selaku pengurus pasukan, Alcacer tetap gagal menambat perhatian untuk menjadi pilihan utama.



Prestasinya terus merudum musim lalu selepas sekadar meraih empat gol di pentas LaLiga dan dia akhirnya nekad untuk melupakan impian besar di Camp Nou.

Alcacer dipinjamkan ke Dortmund pada 28 Ogos lalu berserta pilihan pembelian tetap bernilai EUR30 juta (RM142 juta) dan sinar kembali bernyala dalam kariernya.

Bersambung...

Advertisement

Must Watch Video