Bagaimana mereka melakukannya?
"Semua demi semangat kesukanan. Saya akui perlumbaan ini hampir dibatalkan ekoran masalah kewangan. Kami tiada elaun untuk kakitangan, hotel penginapan dan petrol untuk kenderaan pasukan.
"Perlumbaan hampir dibatalkan selepas peringkat kedua. Tetapi entah mengapa, semua pihak setuju menjalankan tugas masing-masing demi semangat kesukanan. Mereka sedia membantu dan kami hanya perlu meneruskan tugas hingga tamat perlumbaan.
"Mereka sudi bertolak ansur menggunakan wang sendiri. Tapi jika ada peruntukan, saya harap dapat ganti semula kos mereka," kata Musairi.
Saya lihat kesungguhan bekas pelumba negara kelahiran Perlis ini mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dengan Jelajah Malaysia 2015.
Beliau bersalaman, berpelukan dengan semua pasukan bertanding, pegawai teknikal, anggota Polis Diraja Malaysia, wartawan malah tukang pasang bunting juga.
Air mata Musairi bercucuran tanda syukur berjaya menjalankan tanggungjawab.
"Saya hanya mahu Jelajah Malaysia tidak terhenti. Saya akan cuba mencari dana untuk membayar wang hadiah kepada pemenang (lebih RM100,000) dalam tempoh sebulan.
"Saya sayangkan sukan ini dan berharap tahun depan kita akan buat lebih baik lagi," katanya.
Lebih manis apabila pengorbanan penganjur dibalas prestasi hebat pelumba negara.
Pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan menjuarai dua peringkat perlumbaan sambil Nur Amirul Mazuki menyarung jersi merah raja bukit.
Walaupun permulaannya pahit, tetapi manis muncul juga akhirnya. Tahniah Musairi, tahniah pelumba Malaysia!