Skip to main content

Rencana

46 tahun untuk dua emas perseorangan badminton

lee-zii-jia.jpg
S.Kisona memastikan pingat emas Sukan SEA acara badminton perseorangan wanita kekal di tangan Malaysia manakala Lee Zii Jia dengan yakin merangkul pingat emas kategori lelaki. 

Malaysia menunggu 46 tahun untuk emas berganda acara perseorangan setelah kali terakhir dicipta oleh mendiang Datuk Punch Gunalan dan Sylvia Ng dalam edisi 1973 di Singapura yang ketika itu dikenali sebagai  Sukan SEAP (South East Asian Peninsular). 

S.Kisona, yang sangat fasih berbahasa Mandarin, menutup mulut penyokong Indonesia yang masih meraikan kejayaan wakil bergu campuran mereka menundukkan Goh Soon Huat-Shevon Lai 23-21 dalam set penentuan perlawanan final. 

Lenggok mengelirukan dan strategi bijak membolehkan Kisona menewaskan Ruselli Hartawan 20-22, 21-14 dan 21-13. 

Kejayaan ini juga diraikan juara edisi lalu di Kuala Lumpur, Goh Jin Wei, dan dia berkata, "Walaupun saya tidak beraksi tetapi amat gembira pingat emas perseorangan wanita dipertahankan oleh wakil Malaysia, S.Kisona. Pemain muda seperti kami setiap kali akan berjuang habis-habisan demi negara." 



Lebih menggembirakan, sejarah itu dicipta setelah lima dekad untuk melihat Malaysia menjadi juara berganda acara perseorangan badminton selepas pemain di ranking ke-14 dunia, Lee Zii Jia, menundukkan pemain Singapura kelahiran Malaysia, Loh Kean Yew, 21-18, 21-18. 

Zii Jia nekad mencipta emas setelah pasukan lelaki negara tewas kepada Indonesia dalam final acara berpasukan lelaki tempoh hari. Keyakinan dan ketenangan pemain berusia 21 tahun dari Kedah ini membawa kejayaan emas kepadanya.



Sekali lagi Jin Wei, yang telah mula menjalani latihan ringan setelah melalui pembedahan usus, meluahkan perasan gembira dan menyatakan semua pemain Malaysia patut dijulang kerana dengan pingat atau tanpa pingat, mereka sememangnya telah bekerja keras untuk temasya di Filipina ini. 

Dengan emas ketiga daripada bergu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang menewaskan beregu Thailand, edisi Sukan SEA 2019 ini adalah yang terbaik sejak 1975 dengan tiga pingat emas, dua pingat perak dan lima pingat gangsa juga juara keseluruhan dalam pungutan pingat acara badminton kali ini. 

Advertisement

Must Watch Video