Skip to main content

Bola Sepak

Zola: Kerja keras bukan kualiti terbaik Hazard

eden-hazard.jpg
Pembantu jurulatih Chelsea, Gianfranco Zola, bersimpati dengan kekecewaan yang dialami Eden Hazard tetapi berkata pemain sayap Belgium itu masih perlu bekerja keras untuk membantu pasukan.

Prestasi pemain sayap Belgium itu tidak menentu musim ini. Hazard memulakan kempen 2018-19 dengan cemerlang sebelum sentuhannya mulai merosot setelah diminta Maurizio Sarri untuk bermain sebgaai penyerang utama. 

Hazard kembali ke bahagian kiri ketika Chelsea mengalahkan Tottenham menerusi penentuan penalti dalam Piala Liga Inggeris (EFL) semalam apabila menjaringkan gol kedua buat The Blues dalam kemenangan 2-1 dalam pertemuan kedua itu. 

Tatkala Zola bersimpati dengan kekecewaan Hazard kerana perlu memainkan peranan di posisi yang berbeza, jurulatih berbangsa Itali itu berasakan bintang Chelsea tersebut mampu menawarkan persembahan yang lebih baik.

"Saya sangat menyukai Eden," kata Zola kepada wartawan. "Saya seorang pemain yang sangat positif, saya suka bergerak banyak, mencari ruang di mana saya boleh menerima bola, memusingkan badan dan mengucar-kacirkan lawan. 

"Permainan saya mirip dengannya dan saya memahaminya. Saya percaya kami cuba memberinya kesempatan tetapi pasukan juga perlu teratur ketika menyerang dan bertahan. 

"Saya tahu itu bukan kualiti terbaiknya. Kami faham bahawa kadang-kadang dia perlu diberi kebebasan untuk menerima hantaran, tiada keraguan bahawa kami sependapat mengenainya. Kami perlu mencari jalan untuk pasukan agar boleh mendapat manfaat daripadanya."

Menurutnya lagi: "Bukan sahaja ketika dia menjaringkan gol, malah ketika kami berdepan dengan detik-detik yang memerlukan semua pemain turun bertahan dan semua pemain memberikan tekanan. Itulah yang kami cuba lakukan.

"Dia telah berusaha untuk melakukannya. Tuntutan kami sangat tinggi kerana kami mahu melakukannya dalam setiap saat. 

"Saya yakin kami akan mencari jalan untuk berkompromi. Saya tidak boleh mengkritik pemain seperti Eden. Kami percaya apa yang diperkatakan Maurizio bahawa Hazard ada potensi yang lebih besar.

"Jadi, dia (Sarri) tidak mengkritik apa yang dilakukan Eden tetapi Sarri percaya pemainnya boleh membuat sumbangan lebih baik lagi untuk dirinya sendiri dan pasukan. Itulah yang dikatakannya.

"Inilah situasi yang dia mahu Hazard fahami. Sekali lagi, apabila kami melihat kepada persembahannya, kami melihat ke masa hadapan."

Ketibaan Gonzalo Higuain secara pinjaman daripada Juventus dijangka membolehkan Hazard beraksi lebih bebas secara kerap dan Zola mengakui pemain antarabangsa Belgium tersebut lebih gemar beraksi di belakang penyerang utama.

"Situasinya sangat mirip ketika saya mula-mula tiba di sini," tambah Zola. "Mark Hughes atau Luca Vialli boleh beraksi selaku penyerang, jadi ia langkah yang lebih baik buat saya kerana ia akan memberikan saya ruang dan kebebasan.

"Saya akan menggunakan kelebihan fizikal mereka untuk mencari ruang yang dimahukan dan kami beraksi dengan hebat. 

"Oleh itu, saya memahami Eden. Dia mempunyai keserasian yang sangat baik dengan (Olivier) Giroud seperti yang kita lihat semalam.

"Olivier menampilkan persembahan yang hebat pada pendapat saya. Saya yakin dia akan mencipta keserasian yang sama dengan Gonzalo Higuain."

Advertisement

Must Watch Video