Xabi Alonso berkata adalah menjadi satu penghormatan untuk membantu Bayer Leverkusen merangkul kejuaraan sulung selepas pendahulu Bundesliga itu melakar kemenangan bergaya 5-0 ke atas Werder Bremen, awal pagi tadi.
Leverkusen dinobatkan sebagai juara Jerman buat kali pertama dalam sejarah 120 tahun penubuhan mereka menerusi kejayaan dominan yang menyaksikan Florian Wirtz meledak hatrik dalam separuh masa kedua di BayArena.
Victor Boniface telah memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti sebelum Granit Xhaka menggandakan jaringan dengan percubaan jarak jauh.
Alonso, yang mengesahkan masa depannya bersama Leverkusen selepas dikaitkan dengan bekas kelab Liverpool dan Bayern Munich awal musim ini, memuji pencapaian istimewa itu selepas memenangi trofi utama pertamanya dalam bidang pengurusan.
“Kejayaan ini istimewa untuk semua orang dan untuk keseluruhan kelab. Ia milik ramai orang,” kata pengurus Sepanyol berusia 42 tahun itu selepas perlawanan seperti yang dilaporkan oleh Kicker.
WE LOVE YOU XABI! ?#Winnerkusen #DeutscherMeisterSVB @XabiAlonso pic.twitter.com/haCil7N4fH
— Bayer 04 Leverkusen (@bayer04_en) April 14, 2024
“Seluruh kelab ini perlu menikmati kemenangan ini. Ini merupakan kejuaraan pertama kami dalam 120 tahun. Ia satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada kejayaan ini dan bekerja di sini. Hari ini kami layak meraikannya, bersama keluarga, rakan dan peminat.”
Leverkusen kekal tanpa kalah dalam musim ini dan berupaya mengumpul lebih banyak mata lagi.