Skip to main content

Bola Sepak

Villa puji Isco, buru penampilan ke-100

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

david-villa-cropped_8a56u9vh7z6m1godps24711g4.jpg
David Villa menjulang persembahan Isco di samping menyuarakan rasa bangganya ekoran dipanggil menyertai skuad Sepanyol dalam kemenangan 3-0 ke atas Itali, awal pagi tadi.

Bintang Real Madrid, Isco, meledak dua gol dalam babak pertama di Santiago Bernabeu sementara Alvaro Morata melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga untuk memastikan anak buah Julen Lopetegui kekal menerajui Kumpulan G dalam misi memburu slot ke Piala Dunia.

Villa -- penyerang New York City FC -- dibawa masuk sebagai pemain gantian di hujung perlawanan untuk melakar penampilan ke-98 pada usia 35 tahun, tiga tahun selepas membuat penampilan terakhir dalam Piala Dunia 2014.

Dia meluahkan pujian terhadap Isco yang telah menampilkan aksi mantap di peringkat kelab dan negara,

"Saya mengenali Isco menerusi pembangunan pemain muda Valencia, dia sudah pun berlatih bersama skuad senior pada usia muda," kata Villa kepada Teledeporte.

"Dia seorang yang baik dan sedang beraksi mantap ketika ini. Saya sangat gembira. Kami bertuah memilikinya dalam skuad Sepanyol."

Bercakap tentang kepulangannya, Villa mengakui dia tidak pernah menutup pintu untuk kembali mewakili negara.

"Bukan mudah untuk kembali membarisi pasukan tetapi saya tidak pernah memadam impian itu. Saya sangat gembira dapat kembali.

"Kepada mereka yang mempercayai saya, saya mengucapkan terima kasih. 

"100 penampilan? Saya perlu mengambil selangkah demi selangkah. Sekarang adalah masanya untuk berehat dan cuba membuat penampilan ke-99.

"Kami menguasai bola dengan baik. Isco beraksi mantap sepanjang perlawanan.

"Ia satu persembahan menakjubkan daripada semua pemain.

"Kami perlu realistik, kami tahu kami adalah pasukan yang lebih baik dalam kumpulan ini. Tetapi kami tidak boleh bersikap sambil lewa."

Advertisement

Must Watch Video