VILLA 2 LEICESTER 1
Aston Villa berjaya mengembalikan keyakinan mereka selepas penghujung 2024 yang sukar, demikian kata Unai Emery selepas anak buahnya mengatasi pasukan bergelut Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City 2-1.
Villa -- yang mencari kemenangan pertama mereka dalam perlawanan ketiga berikutan kekalahan kepada Newcastle United dan seri ketika menentang Brighton -- bergantung kepada jaringan gol minit ke-76 daripada Leon Bailey untuk memastikan tiga mata buat mereka pada awal pagi tadi.
Mereka di depan menerusi gol pembukaan Ross Barkley pada minit ke-58 tetapi hanya sempat bertahan selama lima minit sebelum dibatalkan oleh Stephy Mavididi.
Villa kini kekal 10 perlawanan tanpa kalah dalam liga di Villa Park apabila meraih enam kemenangan dan seri empat kali.
Hanya Arsenal (12) menikmati rekod tanpa kalah yang lebih lama di laman sendiri dalam saingan EPL ketika ini, lantas Emery percaya pasukannya telah kembali bertenaga di laman sendiri.
“Dalam separuh masa kedua, corak permainan kami semakin bagus dan mula mencipta peluang," katanya kepada BBC Sport.
"Bukanlah satu peluang yang terbuka tetapi sudah cukup untuk menjaringkan dua gol seperti yang kami lakukan.
"Tiga mata ini adalah hebat untuk kami. Kami memulakan separuh masa kedua musim ini dengan kemenangan di laman sendiri dan kami beroleh semula keyakinan.
"Tiga mata ini sangat penting. Kami akan terus berusaha untuk bertambah mantap."
Shaiful Shamsudin
Sun Jan 05 2025