LIGA INGGERIS
Van Nistelrooy kagum dengan Lukaku
Legenda Manchester United, Ruud van Nistelrooy, kagum dengan impak dicetuskan penyerang baru kelab itu, Romelu Lukaku.
Van Nistelrooy, penyerang terbaik United dari 2001 sehingga 2006, tertarik dengan Lukaku sejak United mendapatkan khidmatnya dengan bayaran GBP75 juta daripada Everton, Julai lalu.
Pemain Belgium itu telah menyumbang tiga gol buat United setakat ini di samping turut menyumbang gol dalam kekalahan kepada Real Madrid dalam aksi Piala Super UEFA.
Iklan
Bagaimanapun, Lukaku masih ada 150 gol yang perlu dikejar seandainya mahu menyamai rekod Van Nistelrooy.
"Dia telah menjalankan tugas dengan baik," kata Nistelrooy.
"Kemampuannya meledak gol dalam aksi pertama selepas berhijrah dengan yuran perpindahan yang tinggi sedikit-sebanyak mengurangkan beban yang dipikulnya.
"Dia telah menjalankan tugas dengan baik bukan sahaja sebagai penyerang tetapi sebagai penyumbang kepada gol rakan sepasukan lain."
Pada masa sama, Van Nistelrooy menyedari Lukaku akan sering dipantau peminat dan pengkritik bola sepak.
"Tekanan itu sentiasa ada tetapi ia juga menjadikan situasi itu lebih menarik," katanya.
Sementara itu, Van Nistelrooy turut optimis United berpeluang untuk merebut kejuaraan liga musim ini di bawah kendalian Jose Mourinho.
"Saya yakin mereka akan meneruskan momentum aksi pra-musim," katanya.
"Permulaan mereka cukup baik ketika ini."
Must-Watch Video