Skip to main content

Bola Sepak

Valverde kagum dengan kekuatan Paulinho

paulinho-cropped_pnyx6q54hgmz11bedpzgdrtxx.jpg
Ernesto Valverde memuji kekuatan yang dimiliki rekrut baru, Paulinho, selepas jaringannya di hujung permainan memastikan Barcelona melakar kemenangan 2-1 ke atas Getafe.

Dua pemain gantian Valverde, Denis Suarez dan Paulinho, melakar nama selaku penjaring untuk membantu Barca bangkit, dengan gol kemenangan pemain Brazil itu tiba enam minit sebelum wisel penamat.

Bagaimanapun, Barcelona kehilangan khidmat pembelian GBP100 juta (RM569 juta), Ousmane Dembele, yang terpaksa dikeluarkan dalam babak pertama ekoran mengalami kecederaan hamstring di samping ketinggalan menerusi gol Gaku Shibasaki.

Perpindahan bernilai GBP35 juta (RM199 juta) Paulinho daripada Guangzhou Evergrande bulan lalu mengejutkan ramai pihak, namun Valverde memuji keberkesanan pemain itu dan Suarez.

"Kami mahu menembusi barisan pertahanan," kata Valverde.

"Jika tidak, kami tidak akan melakar sebarang jaringan.

"(Gerard) Deulofeu berani dalam situasi satu lawan satu, Denis tenang dalam melakukan hantaran sementara Paulinho menggunakan kekuatannya sebaik mungkin.

"Ini juga membuktikan pasukan ini memiliki ramai pemain yang mampu membuat sumbangan,  termasuk pemain yang mengisi bangku simpanan.

"Tidak kira siapa pun yang diturunkan, mereka semua mampu mempamerkan aksi berkesan."

Sementara itu, Valverde bersetuju dengan kenyataan Suarez bahawa keadaan padang membuatkan pemain bergelut untuk memberikan aksi sempurna.

"Kemenangan ini menguatkan kami kerana mereka memberi tekanan tinggi, lantas menyukarkan kami untuk mengancam kubu mereka.

"Kami bergelut kerana keadaan padang tidak membenarkan kami bermain dengan lancar. Padang amat kering lalu mengganggu pergerakan bola.

"Tetapi kami mengekalkan ketenangan dan tidak berputus asa dalam mengubah keputusan perlawanan."

 

Advertisement

Must Watch Video