LALIGA
Valverde bingung dengan kritikan terhadap Barca
Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, mendakwa kritikan terhadap aktiviti jendela perpindahan kelab itu merupakan jalan untuk menjatuhkan semangat pasukannya.
Barca menerima kunjungan Espanyol ke Nou Camp malam ini bagi menghadapi aksi pertama selepas tamat saingan perlawanan antarabangsa, dengan kehilangan khidmat Neymar ke berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) masih lagi memberikan satu tamparan yang hebat kepada kelab itu.
Bagaimanapun, Barca masih berjaya mendapatkan khidmat Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund dan Nelson Semedo dari Benfica) tetapi langkah menandatangani Paulinho dari Guangzhou Evergrande Taobao tidak diterima baik oleh banyak pihak.
Iklan
Dengan presiden, Josep Maria Bartomeu, berdepan kecaman dan undi tidak percaya, terdapat suasana yang negatif menyelubungi Barca tetapi Valverde berharap dapat mengubah perkara itu dalam aksi berdepan Espanyol.
"Kami telah memenangi dua aksi pertama saingan LaLiga, kami meraih enam mata. Saya berasakan ia sudah cukup baik," katanya.
"Kadang-kala terlalu banyak perkara yang berlaku, tetapi ini adalah Barcelona -- ia sebuah kelab besar.
"Terdapat pihak yang cuba menjatuhkan kami. Tetapi kami akan cuba memastikan motivasi setiap pemain tidak terganggu.
"Kami mahu mempamerkan aksi yang mantap ketika menyerang dan bertahan, kami perlu bekerja keras untuk memuaskan hati penyokong-penyokong kami dan mendapatkan keputusan yang baik," tambahnya.
Valverde tidak berselindung dengan kebarangkalian untuk menurunkan Dembele bagi menggantikan Luis Suarez yang mengalami kecedraan lutut ketika beraksi untuk Uruguay
"Saya masih belum berpeluang untuk bercakap dengan Suarez. Saya pasti dia akan segera pulih."
Selepas Espanyol, tumpuan Barca akan segera beralih ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Juventus pada Rabu depan.
Must-Watch Video