Skip to main content

Bola Sepak

UNL: Wales kena belajar seni gelap -- kata Gareth Bale selepas ditewaskan Belanda

bale.jpg
WALES 1 BELANDA 2 

Gareth Bale berkata Wales perlu menguasai "seni gelap" bola sepak selepas tumbang 1-2 kepada Belanda dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL), awal pagi tadi. 


Skuad Oranje muncul pemenang dalam pertembungan Liga A Kumpulan 4 itu dalam situasi masa kecederaan yang dramatik di Cardiff, di mana The Red Dragons hampir melakar seri sebelum sekali lagi dibolosi menuju wisel penamat. 

Rhys Norrington-Davies sempat membatalkan jaringan tunggal Teun Koopmeiners pada minit ke-92, tetapi Wout Weghorst memastikan gol kemenangan pada minit keempat tambahan masa.

Kedua-dua pasukan melakukan banyak rombakan khususnya Wales yang sah layak ke Piala Dunia Qatar, Isnin lalu. 

Bale sebaliknya memberitahu S4C bahawa sekiranya tuan rumah membuat persediaan yang lebih baik, ia mungkin boleh membantu mereka yang kurang bertenaga untuk bertahan: "Ia adalah satu perlawanan yang sukar.

"Kami tidak mempunyai kekuatan penuh. Pemain telah bekerja keras untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi apabila bolos semula dengan sebegitu pantas memang memeritkan.
 

"Ia sesuatu yang kami perlu belajar, mungkin seni gelap untuk menumbangkan mereka. Kami perlu belajar daripada pengalaman ini.

“Mereka pasukan bertaraf dunia tetapi kami sedang bersaing dalam Liga A kerana kami berhak menguji diri sendiri untuk berdepan pasukan terbaik.

"Saya fikir jika anda berada di peringkat bawahan, anda tiada peluang untuk kesempatan ini. Kami bersaing dengan pasukan handalan, jika anda tidak melakukan perkara yang diperlukan maka anda akan dihukum.

"Sukar untuk ditelan tetapi ia adalah sesuatu yang perlu kami pelajari. Kami masih sebuah pasukan muda yang perlu belajar perkara seperti ini dan menjadikannya sebagai bekalan pada masa depan."


 

Advertisement

Must Watch Video