BOLA SEPAK

UNL: Merino wira sepanyol, Belanda kecewa di saat akhir!

Stadium Astro
Hanis Natasya Lizam
21/03/2025
07:42 MYT
Sponsor Banner
UNL: Merino wira sepanyol, Belanda kecewa di saat akhir!
Mikel Merino muncul wira Sepanyol apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan, sekali gus membantu pasukannya mencatat keputusan seri 2-2 dalam aksi pertama suku akhir Liga Negara-Negara UEFA menentang Belanda, yang kehilangan Jorrel Hato selepas dilayangkan kad merah.
Sebagai juara bertahan Nations League dan Euro, Sepanyol memulakan perlawanan dengan baik di De Kuip apabila Nico Williams membuka tirai jaringan.
Namun, Cody Gakpo menyamakan kedudukan pada minit ke-28.
Tijjani Reijnders kemudian meletakkan pasukan tuan rumah di depan sebaik sahaja separuh masa kedua bermula dengan rembatan leret yang cantik ke sudut kiri bawah gawang Sepanyol.
Bagaimanapun, kelebihan Belanda tergugat selepas Hato dibuang padang, dan kesilapan Bart Verbruggen pada penghujung perlawanan membolehkan Merino memanfaatkan peluang untuk memastikan kedudukan terikat menjelang aksi timbal balik di Valencia pada Ahad.
Sepanyol hanya memerlukan sembilan minit untuk berada di depan, dengan Williams melepaskan rembatan rendah yang melepasi Verbruggen hasil kombinasi menarik bersama duo Barcelona, Lamine Yamal dan Pedri.
Pelawat hampir menggandakan jaringan pada minit ke-19 apabila tandukan Alvaro Morata sedikit tersasar, sebelum Gakpo menyudahkan peluang dengan tenang untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Gol itu memberikan semangat kepada Belanda, yang sepatutnya berada di depan sebelum rehat.
Unai Simon terpaksa melakukan satu refleks menyelamatkan percubaan Memphis Depay, manakala Reijnders hampir mencetak gol selepas voli kencangnya sekadar menggegar palang.
Namun, Reijnders tidak perlu menunggu lama untuk meledak gol kedua Belanda, apabila dia menyempurnakan hantaran Jeremie Frimpong hanya 39 saat selepas babak kedua bersambung.
Sepanyol gagal memberikan reaksi yang meyakinkan selepas ketinggalan, tetapi mereka diberikan nafas baharu apabila Hato melakukan terjahan keras ke atas Robin Le Normand, sekali gus menerima kad merah dengan baki sembilan minit permainan.
Belanda akhirnya dihukum pada masa kecederaan apabila Verbruggen gagal menangkap kemas percubaan Williams, membolehkan Merino mudah menyempurnakan bola muntah dan memastikan Sepanyol pulang dengan keputusan seri yang berharga.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video