Skip to main content

Bola Sepak

UNL: Kelibat Kane buat rentak England lebih lancar -- Southgate

kane-s.jpg
Pengurus England, Gareth Southgate, memuji pasukannya selepas bangkit untuk seri 1-1 ketika bertandang ke Jerman -- lebih-lebih lagi terhadap ayam tambatannya, Harry Kane, yang mempunyai banyak helah untuk membantu menggerakkan The Three Lions. 

Skuad tuan rumah kelihatan bersedia untuk mencipta kemenangan sulung dalam kempen Liga A Kumpulan 3, Liga Negara-Negara Eropah (UNL) itu melalui jaringan Jonas Hoffman pada minit ke-50, tetapi pelawat mendapat manfaat atas serangan bertali arus yang dilancarkan selepas Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-88 untuk mengimbangi kedudukan.

Walaupun hanya memiliki 37 peratus penguasaan bola, England menghasilkan lebih banyak percubaan (15 berbanding 10). 

Ia jaringan ke-50 Kane sepanjang mewakili England dan Southgate menyifatkan anak buahnya itu sebagai pakej sempurna, bukan sekadar penyumbang gol. 





"Pencapaiannya menyumbat gol ke-50 antarabangsa pasti akan menjadi tajuk utama," katanya. 

“Tetapi berdasarkan mutu permainannya secara menyeluruh, caranya mengetuai serangan, caranya bersaing, caranya mengacah pertahanan dari depan pada hari ini adalah luar biasa.

"Saya rasa kualitinya adalah ketika turun mendapatkan bola -- saya tahu orang akan cakap dia terlalu ke bawah -- tetapi kami memerlukan pemain yang boleh membantu menghubungkan permainan. 

“Dia menawarkan kami banyak pilihan berbeza dan apabila pemain lincah seperti Raheem Sterling dan Bukayo Saka dan Mason Mount mula bertindak maka rentak itu akan menjadi dengan sendirinya.

"Ada beberapa detik yang menyaksikannya dia turun membantu dan mengambil bola, dia meredakan tekanan dengan lancar. 

"Ia salah satu elemen penting dalam permainan ini iaitu daripada segi kualiti berentap dengan pasukan elit."

Southgate tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan anak buahnya dan ia menyerlahkan betapa sukarnya untuk meraih keputusan di gelanggang salah sebuah pasukan terhandal di dunia.

“Pertama, saya berpuas hati dengan tahap persembahan mereka kerana perlawanan jenis ini mencabar segala-galanya –- teknikal, taktikal, fizikal, psikologi,” katanya.

“Pemain perlu mengerahkan segala kudrat untuk mendapatkan keputusan positif."

Advertisement

Must Watch Video