Skip to main content

Bola Sepak

United mampu menang tanpa pengurus -- Gomes tolak impak Solskjaer

solskjaer.jpg
Pengendali Reading, Jose Gomes, menolak kesan positif yang dibawa Ole Gunnar Solskjaer dan mendakwa identiti pengurus sementara Manchester United itu tidak memberi kesan kepada kualiti pasukan berkenaan.

Gomes, yang pernah bergelar pembantu selama 20 tahun kepada bekas pengendali United sebelum ini, Jose Mourinho,  bakal mengemudi pasukannya bertandang ke Old Trafford esok dalam aksi pusingan ketiga Piala FA untuk berdepan United yang dilihat mempamer kebangkitan dalam beberapa minggu terakhir ini.

Solskjaer merakamkan empat kemenangan sejak menggantikan Mourinho, sekali gus menyamai rekod kelab yang dipegang Sir Matt Busby serta berjaya memulihkan keharmonian dalam pasukan.

Bagaimanapun, Gomes pantas memuji peranan pemain dalam kebangkitan yang ditunjukkan United.

"Barisan pemain ini, bagi saya, jika tiada sesiapa di bangku simpanan, mereka tetap mampu menang walaupun tanpa pengurus," kata Gomes.

"Anda tidak boleh katakan mereka kini lebih kuat. Tidak kira siapapun pengurus, mereka tetap berupaya memenangi perlawanan."

Dalam masa sama, Gomes turut mendedahkan kesan Mourinho dalam karier kejurulatihannya tetapi menegaskan tidak akan mendapatkan nasihat bekas pengendali Chelsea itu tentang bagaimana untuk menundukkan United.

"Mourinho adalah pengurus hebat dan sukar untuk mencapai apa yang telah dia raih. Saya tidak tahu apa yang berlaku di United. Saya menghormatinya tetapi Manchester United membuat keputusan berbeza," tambah Gomes.

"Mereka mempamerkan bola sepak yang bagus dan pemain tampak gembira dengan corak permainan yang diharungi.

"Ia adalah tentang pengurus baru yang membawa idea berbeza, lebih kebebasan buat pemain. Mereka menunjukkan bahawa mereka lebih selesa dalam situasi ketika ini," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video