LIGA SUPER MSIA
Unifi Piala Malaysia: Wan Rohaimi buru debut positif bersama Penang
Ketua jurulatih Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail, menganggap peluang terbuka buat pasukannya untuk meraih keputusan positif ketika berdepan Kuching City dalam aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia 2024/25, Jumaat ini.
Sedar akan konsistensi yang ditampilkan pasukan lawan, pengendali berusia 48 tahun itu menggesa anak buahnya mengikut segala perancangan yang telah ditetapkan dalam misi Harimau Kumbang memburu bekalan selesa sebelum bertandang ke Sarawak, minggu depan.
Dia dalam perkembangan sama turut mengesahkan Penang terpaksa melupakan khidmat tonggak penyerang import kelahiran Brazil, Rodrigo Dias, serta perancang tengah berpengalaman, Khairu Azrin Khazali, yang masih berada dalam senarai kecederaan.
Iklan
Untuk rekod, aksi bertemu Kuching City di Stadium Bandaraya bakal menjadi ujian sulung Wan Rohaimi sejak dilantik secara rasmi selaku ketua jurulatih skuad Pulau Mutiara, minggu lalu.
"Secara rasionalnya, saya boleh katakan Kuching bermain dengan baik ketika ini dan mempunyai momentum yang baik. Bagi saya peluang 50-50 walaupun umum mengetahui keadaan Penang dalam keadaan serba tidak menjadi.
"Saya berharap apa yang diterapkan dalam tiga ke empat hari latihan ini dan masih mempunyai baki dua hari lagi barisan pemain boleh beri penambahan positif dengan gaya permainan yang terbaik.
"Saya harap mereka juga bersedia untuk satu perlawanan yang besar bagi Penang. Saya sedar di bahagian pengurusan dan penyokong mereka mahukan keputusan dan perubahan segera. Mereka mengharapkan sesuatu yang baru dan berbeza bila saya menjadi jurulatih buat Penang.
"Bagi saya itu perkara positif dan saya yakin penyokong Penang akan nampak perubahan itu nanti, Insyallah." katanya.
Must-Watch Video