Ketumpulan di bahagian serangan akan menjadi agenda Selangor untuk menghadapi perlawanan timbal balik pusingan 16 Unifi Piala Malaysia, Ahad depan.

Selangor pulang dari Temerloh dengan keputusan 1-1 sebentar tadi dan jurulatih sementara, Abdi Hassan, tidak mahu menjadikan permukaan padang sebagai isu sambil merumuskan anak buahnya sepatutnya mencetak lebih banyak gol lagi

"Kami sepatutnya lebih bagus terutama dalam fasa terakhir serangan, lebih tajam untuk menyudahkan peluang terhidang.

"Kami mengharapkan keadaan padang yang lebih baik dalam aksi timbal balik agar kami dapat tampilkan prestasi sebenar.

"Mencipta peluang merupakan satu hal tapi menyudahkannya sangat dikesali.

"Kami tidak mampu pengaruhi cuaca. Kami cuma boleh letakkan lebih ramai pemain di bahagian serangan terutama babak kedua. Kami mempunyai peluang 100 peratus terhidang.

"Kami tidak datang untuk kalah dan sangat gembira setidak-tidaknya mengikat 1-1 kerana pihak lawan juga mempunyai peluang. Sepatutnya kami menjaringkan satu atau dua gol dalam separuh masa pertama," katanya selepas perlawanan.