Skip to main content

Bola Sepak

UCL: Simeone anggap Manchester United antara pasukan terbaik dunia

diego-simeone.jpg
Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, menggesa pasukannya untuk mempamerkan aksi bertenaga menentang "antara pasukan terbaik dunia" Manchester United.

United akan turun bagi perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Wanda Metropolitano awal pagi esok dengan rekod hanya satu kekalahan daripada 14 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Ole Gunnar Solskjaer dipecat daripada jawatan pengurus November lalu.

Sebaliknya, Atletico bimbingan Simeone -- yang akan beraksi sebagai tuan rumah minggu ini -- kelihatan bergelut untuk mempertahankan gelaran LaLiga yang dimenangi mereka musim lalu.

Bagaimanapun, Ateltico memperoleh kemenangan 3-0 ke atas Osasuna hujung minggu lalu dan Simeone mahu melihat satu lagi aksi bertenaga ditunjukkan pasukannya ketika menentang United, yang dipercayai sudah menjalani transformasi di bawah bimbingan Ralf Rangnick.

"Kami akan berdepan antara pasukan terbaik dunia. Sepanjang 14 perlawanan, mereka hanya tewas sekali," kata Simeone kepada wartawan dalam sidang media sebelum perlawanan itu.

"Sejak ketibaan jurulatih baru, dia telah memberikan mereka keampuhan, kerjasama sepasukan, komitmen dan ia menunjukkan bagaimana seperti kebiasaannya Manchester United sebelum ini.

"Ketua jurulatih baru itu telah memberikan penanda aras kerana anda dapat melihat keamatan, dinamik dan keberanian sepasukan dengan individu yang bagus.

"Perlawanan ini akan menjadi sukar, susah, sama seperti semua perlawanan UCL lain tetapi kami mempunyai harapan ketika bermain di stadium kami dan dengan penyokong kami," katanya.

Dia menambah: "Sebelum ini, anda dapat melihat semangat sepasukan yang baik daripada kami. Harap-harap ia dapat diulangi ketika menentang Manchester United kerana dengannya, kami dapat bersaing dengan lebih baik."
 

Advertisement

Must Watch Video