(City ke suku akhir dengan agregat 8-1)
Lima gol yang dijaringkan Erling Haaland membawa Manchester City ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan cukup bergaya apabila membelasah RB Leipzig 7-0 dalam perlawanan kedua pusingan 16 awal pagi tadi.
Penyerang itu menjaringkan hatrik dalam separuh masa pertama, termasuk dua gol dalam tempoh dua minit, sebelum menambah dua lagi jaringan selepas waktu rehat perlawanan di Stadium Etihad itu untuk City membuktikan keunggulan dengan kemenangan agregat 8-1.
Dengan 39 gol yang dihasilkannya musim ini, Haaland mengatasi rekod jaringan terbanyak semusim buat City yang sebelum ini dipegang Tommy Johnson sejak musim 1928-29 selain membantu pasukan bimbingan Pep Guardiola itu menyamai rekod kemenangan terbesar mereka bagi satu perlawanan peringkat Eropah.
Dia sebelum itu turut memecahkan rekod sebagai pemain termuda dan tercepat mencecah 30 gol dalam saingan UCL dan ketajamannya di depan gawang serta sejarah yang telah dipahatnya sudah pasti membuatkan Haaland menjadi buah mulut di Eropah untuk tempoh yang panjang tidak kira apa yang terjadi selepas ini.
5 - Erling Haaland is the third player to score five goals in a single UEFA Champions League game after Luiz Adriano in October 2014 (Shakhtar Donetsk vs BATE Borisov) and Lionel Messi in March 2012 (Barcelona v Bayer Leverkusen). Playground. pic.twitter.com/0eWf7fsxgv
— OptaJoe (@OptaJoe) March 14, 2023
Haaland memulakan perlawanan kali ini dengan amat bertuah apabila pengadil, Slavko Vincic, menghadiahkan City sepakan penalti selepas insiden bola terkena tangan yang mendapat protes Benjamin Henrichs.
Dia kemudian mudah menyempurnakan sepakan penalti itu sebelum menggandakan jaringan peribadinya dengan menanduk masuk lantunan susulan percubaan awal Kevin de Bruyne.
Haaland kemudian mencatatkan jaringan hatrik di penghujung babak pertama apabila menerima tandukan Ruben Dias sebelum melakukan penyudah jarak dekat.
Ilkay Gundogan turut mencatatkan nama selaku penjaring pada minit keempat babak kedua tetapi Haaland kemudian menambah dua lagi gol jarak dekat menjelang sejam permainan.
Dia kemudian dibawa keluar pada minit ke-63 dan mendapat sorakan gemuruh dari segenap tempat duduk penonton sebelum De Bruyne menjaringkan satu lagi gol buat City dalam waktu kecederaan.