MAN UTD 2 LIVERPOOL 1

Jurgen Klopp gusar dengan permulaan tanpa kemenangan Liverpool dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil menganggap pasukannya hanya perlu sedikit tuah untuk menewaskan Manchester United dalam kekalahan 1-2, awal pagi tadi.


Liverpool menyusuli keputusan seri mengejut ketika menentang Fulham dan Crystal Palace dalam dua perlawanan pembukaan mereka menerusi kekalahan kepada musuh ketat itu di Old Trafford.

Mohamed Salah kembali merapatkan jurang pada minit ke-81 tetapi penyudah berbisa Jadon Sancho dan Marcus Rashford sudah cukup untuk memberikan Erik ten Hag kemenangan sulungnya bersama The Red Devils.

Sejak musim 2012-13 di kendalian bawah Brendan Rodgers, ini merupakan kali pertama bahawa Liverpool gagal memenangi ketiga-tiga perlawanan pembukaan.

Dengan pasukannya berada di tangga ke-16 di peringkat awal kempen musim ini dengan hanya mengutip dua daripada sembilan mata -– ketinggalan lima mata di belakang Manchester City -– Klopp akur perlu melakukan rombakan besar-besaran.

"Saya bimbang tentang keadaan kami tetapi begitulah keadaannya," katanya kepada Sky Sports.





"Kami akan menanganinya dan kami perlu melakukan persediaan untuk menghadapi Bournemouth, kemudian Newcastle, kemudian Everton.

"Kami berada dalam situasi sukar daripada segi kecederaan -- kami melalui minggu ini dengan 14 atau 15 pemain senior sahaja yang cergas dan kami perlu memastikan mereka tidak mengalami kecederaan ketika ini.

"Walaupun dalam situasi begini dan dengan sedikit tuah, kami sepatutnya memenangi perlawanan ini.

"Saya tahu ia kedengaran tidak masuk akal tetapi itulah yang saya lihat."