Skip to main content

Bola Sepak

Tindakan Coutinho salah -- Rivaldo

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

philippecoutinho.jpg
Rivaldo berpendapat Philippe Coutinho tidak seharusnya memberikan sebarang reaksi terhadap penyokong Barcelona selepas menjaringkan gol ketika mengatasi Manchester United dalam suku akhir kedua Liga Juara-Juara, semalam.

Barca melangkah ke separuh akhir selepas merakamkan kemenangan 3-0 ke atas United di Nou Camp, dengan Coutinho menyempurnakan keputusan tersebut menerusi jaringan dari luar kotak penalti selepas dua gol disempurnakan Lionel Messi dalam separuh masa pertama.

Pemain kebangsaan Brazil itu -- dikritik pada permulaan musim kerana gagal mempamerkan aksi yang konsisten -- meraikan jaringan tersebut berdepan penyokong tuan rumah sambil menutup telinga dan mata.

Rivaldo, yang memenangi dua kejuaraan LaLiga bersama Barca pada 1997 dan 2002, memberikan amaran kepada Coutinho supaya membuktikan kebolehannya di atas padang.

"Ia bukan satu isyarat yang baik. Dia menjaringkan gol tetapi apa yang ditunjukkan kepada penyokong tidak betul," kata Rivaldo.

"Penyokong mengkritik Coutinho kerana mahukan lebih lagi daripada pemain tersebut. Anda perlu kekal fokus dalam latihan, utamakan perlawanan dan menjaringkan gol.

"Jika dia meledak gol, ia akan mengubah perspektif terhadap dirinya."

Coutinho tiba dari Liverpool, Januari tahun lalu dan Rivaldo menggesa rakan senegaranya itu untuk terus berusaha dan kekal di Nou Camp.

"Dia seorang pemain yang berkualiti, dia tidak boleh meninggalkan Barca. Kehadirannya membantu pasukan dalam ketiadaan beberapa pemain utama. Dalam perlawanan yang Lionel Messi dan Luis Suarez buntu menjaringkan gol, dia akan hadirkan jaringan untuk pasukan," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video