Skip to main content

Bola Sepak

Tiada alasan buat Leicester -- Puel

puel.jpg
Claude Puel menegaskan Leicester City tidak boleh memberi sebarang alasan selepas mengalami kekalahan 2-1 kepada Newport County dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.

Jaringan Padraig Amond menerusi sepakan penalti memastikan kemaraan Newport, tiga minit selepas Rachid Ghezzal mengimbangi gol pembukaan Jamille Matt.

Leicester mendominasi permainan di Rodney Parade itu, dengan penjaga gol Newport, Joe Day, mempamerkan aksi cemerlang manakala Marc Albrighton memiliki peluang terbuka tetapi percubaannya sekadar menggegar palang gol.

Puel, penguus yang kini kembali di bawah tekanan bersama Leicester, berharap untuk meneruskan momentum positif selepas berjaya merakamkan kemenangan ke atas Chelsea, Manchester City dan Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun terpaksa akur tersingkir daripada saingan ini.

"Saya berasakan kami memiliki pasukan yang baik selepas menurunkan lapan pemain yang memenangi liga," kata Puel.

"Saya menjangkakan kami dapat mara ke pusingan seterusnya tetapi saya enggan memberikan alasan mengenai kekalahan ini.

"Kami sepasukan harus menerima kekalahan ini dan kecewa dengan persembahan dalam perlawanan ini kerana mara jauh dalam saingan Piala FA adalah sebahagian daripada objektif pasukan."

Wes Morgan, yang kembali beraksi untuk Leicester buat kali pertama dalam perlawanan itu selepas diketepikan ekoran kecederaan, mengakui kecewa dengan persembahan yang ditampilkan oleh The Foxes.

"Ia merupakan hari yang sukar, magis Piala FA hadir dalam perlawanan ini.

"Kami telah cuba memberikan yang terbaik, menghasilkan peluang, namun gagal memenangi perlawanan ini.

"Newport turut bermain dengan cemerlang dan mereka menggunakan peluang dengan sebaik mungkin. Saya ingin mengucapkan tahniah dan semoga maju jaya dalam pusingan seterusnya."
 

Advertisement

Must Watch Video