LIGA INGGERIS
Taktikal punca Herrera tidak tersenarai
Jose Mourinho mendedahkan Ander Herrera dipinggirkan dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara bersama Manchester United kerana percaturan taktikal.
Pemain tengah itu tidak berada dalam senarai 18 pemain yang mencatat kemenangan 3-0 ke atas Basel di Old Trafford awal pagitadi sekalipun cergas.
Sebaliknya, Mourinho memilih Paul Pogba dan Nemanja Matic di bahagian tengah sementara Marouane Fellaini dan Michael Carrick menanti di bangku simpanan.
Iklan
"Tiada alasan," kata Mourinho.
"Kami hanya menampilkan dua pemain tengah. Dengan kehadiran Matic dan Pogba yang beraksi cemerlang, tiada sebab untuk saya melakukan pertukaran.
"Satu-satunya perlawanan yang kami menampilkan tiga pemain tengah adalah ketika menentang Stoke City.
"Kami mempunyai kumpulan pemain yang bersedia untuk beraksi dan direhatkan. Ashley Young tidak berada di bangku simpanan dalam aksi terakhir tetapi dia turun dalam kesebelasan utama dan beraksi sepanjang 90 minit permainan.
"Untuk perlawanan berikutnya, mungkin ada pemain yang anda berasakan dia akan diturunkan, sebaliknya tidak. Ini skuad yang kami ada, saya perlu menggunakan mereka. Inilah kehidupan di kelab yang memiliki skuad yang berkualiti."
Namun, Herrera, yang tampil ketika seri 2-2 dengan Stoke minggu lalu, mungkin diturunkan bagi pertemuan dengan Everton di tempat sendiri berikutan kecederaan hamstring yang dialami Pogba.
Pemain tengah Perancis itu akan menjalani ujian imbasan untuk menentukan tahap masalah yang dideritainya pada separuh masa pertama ketika menentang jaguh Switzerland itu.
Must-Watch Video