Permohonan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah mendapat perkenan baginda.
Hamidin telah dimaklumkan mengenai perkara itu petang semalam melalui Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.
“Saya telah mendapat panggilan telefon daripada Datuk Munir kira-kira jam 2.30 petang Jumaat, iaitu sehari selepas saya menghantar warkah memohon perkenan mengadap tuanku sultan Selangor.
“Tuanku sultan Selangor telah menitahkan beliau (Munir) untuk menerima permohonan menghadap menerusi warkah yang saya utuskan ke Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada tengah hari Khamis lalu,” katanya.
Hamidin turut dimaklumkan oleh Munir bahawa tuanku sultan Selangor akan berangkat ke Sarawak dan seterusnya mempunyai beberapa urusan rasmi lain sehingga ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H pada Ahad, 7 Julai 2024.
“Insya-Allah jika tiada aral melintang, berkemungkinan tarikh untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor hanya akan diadakan selepas 7 Julai depan, sekembalinya baginda berangkat pulang dari Sarawak dan selesai urusan dan majlis rasmi yang perlu dihadiri baginda,” tambahnya.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dan murka susulan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Sertai Ultimate Liga Super Fantasy dan rebut peluang menangi hadiah sepanjang musim, klik di sini
Sultan Sharafuddin turut meluahkan rasa kecewa dan dukacita terhadap Hamidin selaku presiden FAM dan mengenalinya sejak bergelar setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari 1995 hingga 2013 selain berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor.
Ia susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei 2024.
Stadium Astro
Sat Jun 29 2024