Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, tidak menolak kemungkinan bahawa skuad Tok Gajah akan menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh sebagai vanue rasmi kelab itu memandangkan Stadium Darul Makmur bakal menjalani proses penaiktarafan.

Dia percaya walaupun stadium itu hanya berkapasiti 10 ribu penonton sahaja tetap mampu menjadi rumah sementara bagi pasukan Sri Pahang sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan sahaja.

Stadium Darul Makmur dijangkakan bakal berwajah baru dengan rumput jenis Bermuda selain penambahbaikan dari aspek sistem saliran perparitan dan menambah baik sistem pencahayaan dengan lebih baik.

Ini berikutan, kerajaan Pahang dalam usaha untuk menyahut saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang menawarkan geran penyelenggaraan kualiti rumput padang hasil sumbangan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebelum ini.

"Kerajaan negeri Pahang bersetuju agar Stadium Darul Makmur ditutup bagi tujuan menaiktaraf kualiti padang yang lebih baik.

"Di peringkat persaingan liga nanti lokasi terbaik adalah Stadium Temerloh, malah lawatan dari MFL sebelum ini juga menunjukkan tanda positif untuk stadium itu dapat digunakan dalam saingan Liga Super Malaysia nanti.

"Ini adalah venue terbaik yang ada di bumi Pahang, jika proses penaiktarafan dapat disegerakan dalam tempoh masa yang ditetapkan, kita pasti akan kembali ke Stadium Darul Makmur semula."