Skip to main content

Bola Sepak

Solskjaer berang permulaan lembap United

olegunnarsolskjaer-cropped_q0v87pp8ut341wn9rlepgjy03.jpg
Ole Gunnar Solskjaer mengkritik Manchester United yang beraksi dengan perlahan dalam babak pertama sebelum mencatat kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United, awal pagi tadi.

The Red Devils kini meraih empat kemenangan di bawah bimbingan Solskjaer, sekali gus menyamai rekod permulaan terbaik yang dipegang oleh Sir Matt Busby.

Pelawat tampak memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan aksi di St James Park dan terpaksa menunggu sehingga kemasukan Romelu Lukaku untuk membuka tirai jaringan selepas dia menyudahkan bola muntah hasil sepakan percuma Marcus Rashford.

Rashford melengkapkan kemenangan ketika permainan berbaki 10 minit tetapi Solskjaer jelas tidak gembira dengan persembahan United di awal permainan.

"Ia satu persembahan profesional. Kami tidak menampilkan persembahan terbaik dan membuktikan kemampuan tetapi tetap menguasai perlawanan," kata Solskjaer.

"Rashford sekali lagi menjaringkan gol hebat dan reaksi bagus daripada Lukaku merupakan sentuhan pertama.

"Dalam babak pertama, ia begitu lembab sehingga kelihatan seperti satu aksi testimonial. Terlalu perlahan, banyak sentuhan dan hantaran pendek ke belakang.

"Namun, apa yang bagus adalah kami tidak dibolosi."

Lukaku melalui dua perlawanan sebagai pemain gantian tatkala Rashford sekali lagi diletakkan selaku penyerang tengah dan Solskjaer gembira untuk menerima masalah sebegitu.

"Anda boleh menurunkan mereka berdua, tiada masalah," tambah Solskjaer.

"Seorang boleh beraksi di bahagian kanan atau kedua-duanya tampil di bahagian tengah. Ia memberikan saya pilihan."

Sementara itu, pengendali Newcastle, Rafael Benitez, masih mengimpikan jentera serangan yang tajam selepas melalui aksi ketiga dalam empat perlawanan tanpa jaringan.

"Kami tahu aksi penyudah merupakan kunci utama," ujar Benitez.

"Apabila anda membayar harga tinggi untuk pemain, kebiasaannya anda bercakap tentang pemain menyerang yang memberikan perbezaan.

"Kami harus memberikan pujian kepada pemain kerana berada dalam perlawanan bagi tempoh 80 minit."

Advertisement

Must Watch Video