Skip to main content

Bola Sepak

Slot ke Asia : Milik Sang Kenari atau Red Giants?

peminat-kedah-darul-aman.jpg
Tanggal 2 Disember 2023 bersamaan Sabtu pada jam 9 malam bakal menyaksikan seluruh perhatian peminat serta pemerhati bola sepak tempatan terarah ke Stadium Darulaman untuk satu lagi jangkaan pertemuan klasik di antara Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC.

Ketika juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) secara tradisinya sudah mengecap kejuaraan Liga Super untuk tempoh sedekad pada 27 September lalu, kini perebutan naib juara dan slot ke pentas Asia 2024 menjadi rebutan Selangor dan juga Kedah.

Kalau bercerita soal kehangatan perlawanan ini, ia bermula selepas ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, menganggap Kedah sebagai sebuah pasukan berbahaya, lantas mereka perlu berwaspada dengan ancaman Sang Kenari.

Kenyataan itu kemudian dibalas pengendali Kedah, Nafuzi Zain, yang menganggap Selangor sebagai pasukan pilihan untuk mara ke pentas Asia. 

Kenyataan kedua-dua pengendali ini penulis lihat sebagai perang psikologi atau rencah sebelum perlawanan bermula. Tidak lebih dari itu.

Suasana menjelang sepak mula kian menarik selepas laman sosial rasmi Kedah DA mengumumkan bahawa jualan tiket secara atas talian (online) telah pun habis dijual. Fuhhhhhh... Memang betul-betul 'match of the season' ni.

 

Berbalik kepada peluang kedua-dua pasukan, penulis lebih memilih untuk melihat kepada perlawanan ini berkesudahan dengan keputusan seri.

Bukannya apa, sebab pada pandangan penulis, kalau nak lagi 'thrill' atau mendebarkan, adalah lebih afdal penentuan naib juara Liga Super 2023 ditentukan pada aksi terakhir Liga yang dijadualkan berlangsung pada 17 Disember 2023.

Kedah akan ke Likas untuk bertemu Sabah, Selangor pula akan beraksi sebagai tuan rumah kepada PDRM. Sepak mula pula serentak, memang cantik.

Kesimpulannya, penulis mengharapkan kepada Kedah dan Selangor, sajikanlah 90 minit yang tidak akan dilupakan seluruh penyokong setia pasukan anda yang mungkin juga akan jadi bualan zaman berzaman untuk generasi akan datang.

Penulis akhiri nukilan kali ini dengan pantun 4 kerat: 

Guruh berdentum tandanya hujan,
Air di tempayan usah dicurahkan,
90 minit jadi tumpuan, 
Misi ke Asia jadi rebutan.

Ikuti siaran langsung perlawanan ini di Astro Arena Bola saluran 803 dan live streaming menerusi aplikasi Astro Go atau ikuti secara percuma melalui aplikasi Sooka bermula dengan pra-rancangan pada jam 8.00 malam.

Muat turun aplikasi Sooka melalui App Store atau Google Play sekarang!

 

Advertisement

Must Watch Video