Skip to main content

Bola Sepak

Skuad Harimau Kumbang sasar suku akhir

pulau-pinang-2019.jpg
Pasukan Pulau Pinang menyasarkan untuk melayakkan diri sehingga ke pusingan suku akhir dalam saingan Piala Malaysia edisi ke-93 tahun ini.

Presiden Persatuan BolaSepak Pulau Pinang (FAP), Dr. Amar Pritpal Abdullah, berkata semangat pasukan itu kini amat baik selepas menamatkan Liga Perdana tahun ini di tangga ketiga.

"Selaras dengan pencapaian yang dikecapi Pulau Pinang dalam Liga Perdana 2019, saya berharap pemain-pemain akan terus menunjukkan prestasi terbaik dalam saingan Piala Malaysia supaya kami dapat mencapai sasaran layak sehingga suku akhir," katanya selepas Majlis Makan Malam Apresiasi FAP yang dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, baru-baru ini.

Skuad Harimau Kumbang diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara Liga Super 2019, Pahang, juara Liga Perdana 2019, Sabah, serta juara bertahan, Perak, dengan dua pasukan teratas akan layak ke suku akhir.

Dr. Amar berkata sasaran suku akhir itu amat realistik dengan prestasi pasukan negeri itu ketika ini memandangkan Pulau Pinang hanya pasukan yang bermain dalam Liga Perdana.

Mereka akan memulakan kempen dengan bertemu skuad Tok Gajah di Kuantan, malam ini, sebelum menerima kunjungan Sabah di Stadium Bandaraya, Rabu depan.

Dr. Amar berkata keempat-empat pemain import Pulau Pinang, iaitu Kang Seung Jo, Julian Bottaro serta dua pemain pinjaman, Sergio Aguero, dari Selangor United dan Anselmo Casagrande daripada Melaka United akan kekal beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

"Kami memang ada perancangan untuk mengikat kedua-dua pemain pinjaman itu (Aguero dan Casagrande) tetapi kami perlu mengkaji aksi mereka terlebih dahulu dalam setiap pelawanan Piala Malaysia," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pasukan Pulau Pinang memerlukan peruntukan yang lebih bagi menghadapi Piala Malaysia dan juga musim baru, sama ada Liga Perdana atau Liga Super.

"Setakat ini, kami hanya menerima sumbangan RM5 juta setahun daripada kerajaan negeri, namun itu masih tidak mencukupi kerana kos setiap pelawanan amat tinggi dan kami berharap peruntukan tambahan akan diluluskan memandangkan skuad Pulau Pinang telah berjaya layak ke Piala Malaysia," katanya.

Skuad Harimau Kumbang itu menamatkan aksi Liga Perdana 2019 dengan menduduki tangga ketiga selepas 20 pelawanan menerusi lapan kemenangan, enam seri dan enam kalah, namun masalah teknikal telah menyebabkan pasukan bimbingan Manzoor Azwira Abdul Wahid itu dikenakan hukuman pemotongan enam mata oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video