PIALA MALAYSIA
Shahrel ambil risiko sebelum ledak hatrik
Shahrel Fikri Fauzi melupakan kesakitan demi PKNP FC dengan pengorbanannya terbalas menerusi jaringan hatrik pertamanya dalam kemenangan 3-1 ke atas Felda United dalam pertembungan suku akhir pertama Piala Malaysia di Jengka, malam tadi.
Shahrel menjadi mangsa percaturan berani mati jurulatih, Abu Bakar Fadzim, walaupun dihimpit kecederaan pergelangan kaki yang dialaminya dalam sesi latihan, sehari sebelum perlawanan.
Begitupun, Shahrel masih mampu menyerlahkan dirinya, bermula dengan gol pertama pada minit ke-11 dan disusuli gol kedua pada minit ke-45 sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-67.
Iklan
"Saya mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki. Namun, jurulatih telah meniupkan motivasi agar saya memberi sumbangan kepada pasukan.
"Dari situ, saya menguatkan semangat untuk meneruskan aksi," katanya.
Ia antara kejutan besar dilakukan PKNP selepas pernah menumbangkan Kedah dan T-Team musim ini.
Lebih menarik, kejayaan menundukkan Felda hadir di laman lawan, sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk mara ke separuh akhir.
"Semangat juang pemain PKNP yang ingin memberi cabaran kepada Felda membawa kepada keputusan positif.
"Taktikal kami ketika bertahan dan menyerang serta kawalan ketat ke atas pemain lawan menjadi.
"Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan, terutama ketua pasukan," ujar Abu Bakar.
Sementara itu, jurulatih The Fighters, B. Sathianathan, mengakui skuadnya akan tersingkir jika pemainnya terus memperagakan aksi buruk dalam pertemuan timbal balik di tempat lawan nanti.
"Saya perlu bertanggungjawab kerana mungkin tidak mempersiapkan pemain daripada aspek yang lain.
"Keputusan 3-1 mungkin sukar buat kami. Kalau bermain seperti ini di tempat lawan, memang sukar untuk mara ke separuh akhir.
"Kami gagal menandingi gaya agresif dan mentaliti mereka walaupun sudah banyak kali saya berpesan kepada pemain," katanya.
Sathianathan turut memuji persembahan pasukan lawan sambil mengakui gol sagu hati daripada Hadin Azman masih belum memadai.
"Mereka merupakan pasukan yang lebih baik malam ini (tadi), terutama pada babak pertama."
Must-Watch Video