PIALA MALAYSIA
Shaharuddin lega Pahang pamer kebangkitan
Penolong jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi, lega dengan kemenangan 3-2 ke atas T-Team dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia, di Stadium Darulmakmur malam tadi, yang secara tidak langsung mengesahkan kemaraan mereka ke suku akhir.
Matheus Alves, Muhammad Nor Azam Azih dan Yamil Romero menjadi penyumbang kepada kemenangan Tok Gajah meskipun kedudukan terikat 2-2 pada suatu ketika apabila T-Team dua kali menyamakan kedudukan menerusi Syed Sobri Syed Muhammad dan Abdoulaye Maiga.
Shaharuddin mengakui anak buahnya hilang fokus sebaik membuka tirai jaringan, lantas membuka peluang buat T-Team dua kali mempamerkan kebangkitan.
Iklan
"Kami kekurangan fokus sekaligus memberi peluang kepada T-Team untuk meledak dua gol. Jadi, pemain terpaksa meningkatkan permainan mereka untuk melakar kemenangan ini," jelasnya.
Sementara itu, pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, terpaksa akur dengan kualiti yang dimiliki pasukan tuan rumah.
"Saya rasa hari ini pemain telah berikan semuanya. Dan kami tahu Pahang mempunyai skuad yang lengkap kerana rata-rata memiliki pemain yang berpengalaman di setiap posisi.
"Jadi, bukan mudah untuk kami menewaskan mereka," kata Rahmad.
Must-Watch Video