Ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah, mengakui separuh perancangannya pada musim ini tergendala berikutan larangan mendaftarkan pemain baru pada awal jendela musim ini.
Justeru, Yusri terpaksa membawa cabaran Liga Perdana bersama 20 anggotanya tanpa watak baru tempatan iaitu Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Wan Nor dan Syamim Yahya yang pada awalnya menjadi sandaran.
"Tetapi kami tidak mahu berputus asa, kami akan terus berjuang dan berusaha," katanya.
Dia enggan merungut mengenai sumber terhad yang dihadapi, sebaliknya sedia memberi kesempatan kepada pemain muda untuk lapan perlawanan terawal, bermula bertemu Kelantan United, Sabtu depan.
Namun, beberapa pemain muda ini mungkin digugurkan sebaik tirai perpindahan pemain Liga-M kedua dibuka hujung Mei depan.
"Kami terpaksa mendaftarkan mereka pada awal musim ini tetapi tidak di pertengahan musim ini.
"Kalau boleh saya nak kekalkan semuanya tapi kalau terpaksa, saya perlu membuat pilihan terbaik.
"Buat masa ini perjalanan kami tidak seperti yang dirancang.
"Saya terpaksa memaksa pemain yang ada kontrak (tetapi tidak boleh beraksi agar) menjalani latihan dan sebagai jurulatih, sukar untuk meminta mereka memberikan komitmen 100 peratus," katanya.
Shaiful Shamsudin
Sat Feb 26 2022