Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil, tidak sabar untuk menghadapi perlawanan 'sulung' Gergasi Merah bertemu Kedah dalam aksi Liga Super Sabtu ini.

Selangor mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Perlawanan Sumbangsih bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) susulan permohonan untuk menunda aksi tersebut ditolak Malaysian Football League.

Ia berikutan insiden hitam yang menimpa tonggak pasukan, Faisal Halim, yang disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali 5 Mei lalu.

Keputusan Selangor untuk tidak beraksi dalam perlawanan tersebut secara automatik memberikan kekalahan pertama dan menjelang perlawanan bertemu Kedah, Nidzam optimis pasukan telah mengalihkan tumpuan untuk melihat ke hadapan.

Bercakap menerusi segmen Nadi Bola Latihan Sulung Selangor, Nidzam berkata, "Pasukan sudah bersedia, kampir kesemua pemain sudah berada di tahap optimum untuk perlawanan akan datang kecuali K. Ruventhiran yang mengalami kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan.

"Dia memerlukan dalam dua hingga tiga minggu sebelum dapat diturunkan dalam skuad utama."

Tambah Nidzam, "Daripada segi motivasi dan fokus, saya percaya pasukan Selangor sudah bersedia untuk perlawanan bertemu Kedah.

"Setiap individu dalam skuad Selangor berasa sedih dengan apa yang telah berlaku, semua banyak belajar daripada situasi ini. Semua sudah mula memberikan fokus dan sedia untuk menghadapi perlawanan bertemu Kedah.

"Terdapat beberapa lagi untuk membuat penilaian dan kami akan cuba menghadirkan perlawanan terbaik bertemu Kedah. "

Jaringan 33 saat penyerang Kedah, Syafiq Ahmad ketika bertemu PDRM tempohari ternyata menghadirkan ancaman kepada mana-mana pasukan, namun Nidzam mengambil langkah waspada untuk mengawasi Sang Kenari.

"Bukan sahaja Syafiq Ahmad keutamaan buat Selangor, Kedah memiliki deretan pemain yang mampu menjadi ancaman buat Selangor. Kehadiran pengendali pasukan, Nafuzi Zain sendiri sentiasa menghadirkan taktikal perlawanan yang mampu memberikan kesukaran buat kami.

"Sebagai pengendali, saya akan cuba memberikan taktikal yang terbaik dan pemain yang turun beraksi akan menghadirkan corak permainan dalam perlawanan itu nanti.

"Kami meletakkan harapan untuk menterjemahkan perlawanan yang terbaik dan keputusan yang positif.

"Buat Faisal, Kami semua mendoakan yang terbaik untuk dia dan keluarganya."