Skip to main content

Berita Sukan Am

Belanjawan 2027: RM460j pembangunan sukan, RM240j untuk Sukan SEA dan Para ASEAN

Belanjawan 2027: RM460 juta pembangunan sukan, RM240 juta untuk Sukan SEA dan Para ASEAN
Advertisement

Kerajaan secara total memperuntukan sebanyak RM 730 juta buat sektor sukan negara. RM460 juta bagi bagi pelbagai tujuan pembangunan sukan negara, selain menyediakan RM240 juta untuk persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa pembangunan sukan, meningkatkan prestasi atlet serta memastikan Malaysia bersedia menganjurkan temasya sukan serantau tahun depan.

Advertisement

Sebanyak RM240 juta disediakan untuk tujuan persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 -- yang disifatkan sebagai peluang untuk mengangkat imej negara serta menyemarakkan perpaduan rakyat.

Daripada keseluruhan peruntukan pembangunan sukan, RM460 juta pula disediakan bagi memperkasa program sukan berprestasi tinggi dan inisiatif Road to Gold, pembangunan atlet para serta atlet sukan orang pekak, selain penyelenggaraan fasiliti sukan di seluruh negara.

Advertisement

Kerajaan turut menyediakan RM30 juta menerusi Geran Padanan Sukan bagi menggalakkan badan sukan, kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan acara sukan berprestasi tinggi.

Dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan dari peringkat akar umbi, peruntukan bagi aktiviti sukan murid sekolah pula ditingkatkan sebanyak 50 peratus kepada RM27 juta.

Peningkatan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 4.6 juta murid di 10,000 sekolah di seluruh negara.

Peruntukan berkenaan memberi penekanan bukan sahaja kepada persiapan menghadapi temasya antarabangsa, malah turut merangkumi pembangunan atlet, kemudahan sukan dan peluasan penyertaan dalam kalangan generasi muda.

Dengan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 semakin hampir, tumpuan kini terarah kepada penggunaan peruntukan secara berkesan bagi memastikan persiapan penganjuran berjalan lancar, selain meninggalkan legasi pembangunan sukan yang berkekalan untuk negara.

Sebagai perbandingan, Belanjawan 2026 yang lalu memperuntukkan sebanyak RM580 juta secara keseluruhan – peningkatan sebanyak RM150 juta untuk tahun ini.

Ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima di Dewan Rakyat, hari ini, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kontinjen negara yang meraih sembilan pingat emas, tujuh perak dan 16 gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua atlet, jurulatih dan petugas kerana mengharumkan nama negara,” katanya.

 

Anda mungkin berminat dengan

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Must Watch Video