LIGA PERDANA MSIA
Selangor II temui rentak, UiTM makin serasi
Jurulatih Selangor II, Rusdi Suparman, mengakui gol yang dijaringkan anak buah, S. Shivan, pada minit ke-31 yang juga gol tunggal perlawanan bukanlah nasib semata-mata.
Shivan melakukan rembatan jarak jauh untuk menewaskan penjaga gol UiTM FC dengan Rusdi mendedahkan ia adalah terhasil daripada latihan sebelum diterjemahkan dengan baik dalam perlawanan malam tadi.
Justeru, tidak keterlaluan Shivan dianggap sebagai senjata pasukan itu apabila rembatan jarak jauhnya mampu menghasilkan gol.
Iklan
"Sebagai jurulatih saya mesti tahu untuk menggunakan kelebihan itu (pemain) dan Alhamdulillah kami mendapat tiga mata dalam perlawanan pertama ini," katanya.
Bagi rakan sejawatnya di kem UiTM pula, Ismail Ibrahim, mengakui terkilan apabila tewas tipis dalam aksi pembukaan Liga Perdana musim ini.
Baginya, banyak kesilapan mudah dilakukan anak buahnya selain faktor kegugupan membuatkan taktikal yang dirancang tidak begitu menjadi.
Bagaimanapun, ia langsung tidak menghalang buat Ismail yang kekal positif untuk membawa UiTM sekurang-kurangnya dalam kelompok lapan terbaik Liga Perdana musim ini.
"Separuh daripada pemain tahun lalu sudah keluar pasukan tetapi saya nampak banyak peningkatan dalam kalangan pemain baru ketika ini.
"Saya harap mereka dapat terus tingkatkan prestasi.
"Selepas ini mereka akan bertemu Kelantan dan mungkin ini satu tekanan kepada kami. Saya harap kami akan lebih bersedia Jumaat depan," katanya.
Must-Watch Video