Skip to main content

Bola Sepak

Selangor FC turun skuad terbaik menuju rehat antarabangsa

mukhairi-ajmal-mahadi.jpg
Selangor FC tidak akan mengambil mudah cabaran Kelantan FC apabila kedua-dua pasukan berentap dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi. 

Malah, pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe, mengingatkan barisan pemainnya untuk mengekalkan rentak kemenangan yang dilakar dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini.

Dua perlawanan terakhir sebelum ini menyaksikan Selangor menewaskan Kuala Lumpur City, 2-0 sebelum menang besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC.

“Saya mahu pemain-pemain fokus dengan mindset mereka apabila berdepan Kelantan. Ya, mereka pernah dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) 10-0 dalam aksi Piala Malaysia sebelum ini.

“Namun, kekalahan besar Kelantan itu bukan kelebihan besar kepada Selangor kerana saya percaya mereka sudah tentu tidak mahu mengulangi situasi sama berulang,” katanya semalam.

Cheng Hoe percaya barisan pemain muda The Red Warriors (TRW) kendalian Alfredo Vera itu akan bangkit bagi memadam kekecewaan selepas tumbang kepada JDT.

“Jika kita tengok kembali ketika Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada 9 Ogos lalu, mereka bermain sepenuh hati tanpa tekanan biarpun berdepan lawan yang jauh berpengalaman.




“Jadi saya menjangkakan Kelantan akan tampil dengan semangat baru, mentaliti tidak sebarang kerugian apabila berdepan Selangor di laman sendiri.

“Biarpun kurang pengalaman, semangat juang tinggi pemain muda Kelantan mampu menghadirkan kesukaran kepada Selangor sekiranya pemain-pemain mengambil mudah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga menegaskan misi melakar keputusan positif merupakan matlamat utama kunjungan pasukan Selangor ke di Kota Bharu tersebut.

"Saya akan menurunkan kesebelasan yang terbaik bagi memastikan tiga mata dapat diraih dalam perlawanan ini dalam memperkukuhkan kedudukan pasukan dalam liga.

"Selangor akan berehat sementara selepas perlawanan menentang Kelantan, jadi pemain-pemain perlu memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin," katanya.

Kredit: Sinar Harian 

Advertisement

Must Watch Video