BOLA SEPAK
Selamat hari jadi Super Safee!
Tarikh 29 Januari 2025 menjadi hari bermakna buat legenda bola sepak negara, Safee Sali, yang merakamkan sambutan ulang tahun kelahirannya buat kali ke-41.
Bekas penyerang Harimau Malaya itu sememangnya dikenali sebagai salah satu pemain terbaik dalam sejarah bola sepak negara dengan kejayaan gemilang yang masih diingati sehingga kini.
Safee memulakan karier profesionalnya bersama Telekom Melaka pada tahun 2003 sebelum berpindah ke Sarawak dan Selangor.
Iklan
Semasa berkelana di kelab Selangor, dia mula mencuri perhatian dengan ketajaman serangan di hadapan gawang, menjadikan dia sebagai salah satu penyerang paling digeruni dalam Liga Malaysia.
Pemain kelahiran Selangor itu mencipta sejarah selepas menjadi pemain Malaysia pertama yang berpeluang untuk bermain di Liga Indonesia bersama kelab Pelita Jaya pada tahun 2011.
Kemuncak karier Safee Sali hadir pada tahun 2010 apabila dia membantu kem negara untuk menjuarai Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam sejarah dengan gol kemenangan hasil rembatan kencang kaki kanannya pada pentas final menentang Indonesia.
Tidak ketinggalan, detik emas di mana dia menjaringkan gol dari luar kotak penalti ketika aksi separuh akhir AFF Suzuki 2010 menentang Vietnam.
Selepas menamatkan tugasnya bersama Harimau Malaya pada 2017, Safee terus bermain di beberapa kelab tempatan seperti Johor Darul Ta’zim, PKNS dan Kuala Lumpur City.
Kini dia memilih untuk meneruskan khidmatnya dalam kancah sukan negara sebagai pengulas sukan Astro Arena.
Di usia 41 tahun, Safee Sali kekal sebagai inspirasi kepada generasi muda sebagai lambang semangat juang dan cinta terhadap arena bola sepak.
Selamat ulang tahun, Super Safee!
Must-Watch Video