Skip to main content

Bola Sepak

Saya tidak tahu apa yang berlaku -- Zahasmi

zahasmi.jpg
Rasa kecewa jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, terluah jua selepas kekalahan 2-0 kepada Kedah malam tadi mengesahkan tiada slot untuk Red Warriors ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Bermula daripada kekalahan kepada UITM FC, sebelum menjadi mangsa Melaka United, Zahasmi tidak menafikan itulah titik-tolak yang membayangkan nasib Kelantan dalam saingan musim ini.

Sebagai pasukan yang memiliki potensi, semangat Kelantan tiba-tiba pudar, dan kemuncaknya adalah kegagalan mengesahkan tiket ke suku akhir apabila tewas kepada Kedah malam tadi.

"Apa nasib kami, saya pun tak tahu. Segalanya bermula dengan tewas kepada UiTM dan seterusnya kecundang di tangan Melaka United. Saya pun tak tahu apa yang berlaku," ujar Zahasmi.

Daripada sebuah pasukan yang disegani, Kelantan kini hanya tinggal nama meskipun pernah gah satu ketika dahulu.

Penggerak utama Kelantan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) perlu dijadikan rujukan sebenar menangani kekangan yang dialami Kelantan ketika ini.

"Inilah pasukan yang kami ada. Kami hanya berkerjasama dengan pasukan yang kita ada. Mungkin ada sebabnya mengapa kami mengalami suasana seperti ini," tambah Zahasmi. 
 

Advertisement

Must Watch Video