Skip to main content

Bola Sepak

Sarri lega kecederaan Willian tidak serius

willian-cropped_1kjm6dulo3mk91g1twd1hni9q8.jpg
Maurizio Sarri menyatakan rasa lega selepas mendedahkan kecederaan yang dialami pemain sayap Chelsea, Willian, tidak begitu serius dalam perlawanan yang menyaksikan The Blues diikat seri tanpa jaringan oleh Southampton.

Bintang Brazil, Willian, merupakan salah seorang pemain yang menyinar sebelum dia terpaksa dibawa keluar pada minit ke-37 dalam aksi di Stamford Bridge.

Pemain sayap itu berlaga dengan Maya Yoshida dan rebah sebelum dilihat memegang bahagian paha dan terpaksa digantikan oleh Ruben Loftus-Cheek.

Chelsea mengalami nasib tidak begitu baik mengenai kecederaan apabila Olivier Giroud, Pedro dan Callum Hudson-Odoi masing-masing terlepas perlawanan awal pagi tadi akibat masalah kecergasan dan Willian dilihat menambah senarai itu.

Namun, Sarri yakin dengan keadaannya dan menjangkakan Pedro akan kembali tidak lama lagi.

"Kecederaan Willian tidak begitu serius," kata pengendali dari Itali itu.

"Untuk Pedro, dalam tempoh seminggu dia akan kembali berlatih bersama rakan sepasukan.

"Dalam aksi ini, ia menjadi sukar kerana ketiadaan Pedro, Giroud, Hudson-Odoi dan selepas 37 minit, Willian turut dikeluarkan.

"Doktor berkata Giroud boleh berlatih selepas 10 hari. Masalah utama hadir ketika ini. Saya rasa ia lebih baik berbanding apa yang difikirkan selepas aksi berdepan Crystal Palace."

Chelsea bergelut untuk memecahkan kubu Southampton tetapi turut mensia-siakan beberapa peluang yang hadir.

Alvaro Morata sekali lagi tampil mengecewakan dan Sarri mengakui pasukannya mengalami masalah di bahagian depan.

"Saya rasa kami beraksi baik untuk jarak 80 meter tetapi bermasalah dalam 20m terakhir," tambah Sarri.

"Kami mencipta peluang, tidak banyak tetapi ia tidak mudah dalam aksi sebegini.

"Jika anda boleh menjaringkan gol pertama, mendapatkan ruang, ia lebih mudah. Kami perlu menyelesaikan masalah dalam 20m terakhir.

"Dalam aksi terakhir, kami meraih penguasaan penuh tetapi tidak mudah untuk menjaringkan gol pertama."

Advertisement

Must Watch Video