CRYSTAL PALACE 1 CHELSEA 1

Jadon Sancho kecewa dengan keputusan seri 1-1 Chelsea dengan Crystal Palace dan percaya pasukannya sepatutnya membunuh perlawanan lebih awal.


Cole Palmer meletakkan pelawat mendahului selepas 14 minit permainan menerusi gerakan menarik yang dicetuskan Sancho, tetapi Jean-Philippe Mateta menyamakan kedudukan lapan minit sebelum aksi di Selhurst Park berakhir, awal pagi tadi.

The Blues terlepas beberapa peluang terhidang untuk menggandakan kedudukan mereka dan pemain sayap itu mendedahkan timbul rasa terkilan di bilik persalinan di tempat lawan apabila mereka menamatkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan tanpa kemenangan buat kali keempat berturut-turut.

Sancho berkata: "Saya fikir kami bermain agak bagus dan mengawal permainan, jadi ia sangat mengecewakan untuk dibolosi lewat permainan




“Seperti yang pengurus pesan di bilik persalinan, kami perlu mematikan permainan dalam babak kedua.

"Saya fikir jika kami mendapatkan gol kedua maka kami akan lebih santai dan seteru pula terpaksa memburu gol jadi kemudian akan lebih banyak ruang untuk kami.

"Malangnya itu tidak berlaku.

"Kami masih mencipta begitu banyak peluang di hadapan gol tetapi ia adalah mengenai mendapatkan hasil akhir."