Skip to main content

Bola Sepak

Sabah sasar ke Liga Super 2020

sabah-jersi.jpg
Biarpun dengan persiapan pasukan yang sedikit lewat, Sabah tetap menyasarkan untuk merebut dua kedudukan teratas Liga Perdana untuk layak beraksi dalam Liga Super musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata sasaran berkenaan bukanlah satu tugas mudah, namun beliau yakin dengan kerjasama semua pihak, impian itu mampu dicapai.

"Kami mengakui persiapan untuk menghadapi musim baru ini sedikit terjejas kerana beberapa faktor, termasuk perubahan pentadbiran SAFA.

"Bagaimanapun, saya yakin dengan kerjasama antara pihak pengurusan, kejurulatihan dan pemain-pemain tempatan yang dimiliki, kami mampu untuk memberikan saingan kepada pasukan-pasukan lain," katanya ketika ditemui sempena majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Sabah bagi musim 2019, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, serta beberapa menteri kabinet Sabah.

Terdahulu, Mohd Shafie ketika ditemui berharap SAFA akan mampu berdikari dalam mengurus tadbir kewangan persatuan berkenaan tanpa perlu mengharapkan kerajaan negeri sepenuhnya.

"Apa yang penting pentadbiran baru ini perlu mengurus tadbir SAFA, khususnya daripada segi kewangan, dengan sebaik mungkin kerana ia bukan sahaja melibatkan perbelanjaan jutaan ringgit, malah lebih daripada itu.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong SAFA. 

"Kami memerlukan lebih banyak peruntukan untuk membangunkan negeri ini, namun bukanlah bermaksud sukan bola sepak akan diabaikan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video