Skip to main content

Bola Sepak

Sabah FC tekad bangkit di sebalik masalah kecederaan

amri-yahyah.jpg
Sabah FC menetapkan sasaran membawa pulang mata penting apabila bertandang menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Ahad ini.

Biarpun begitu pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee, mengakui bukan tugas mudah kerana skuad Manzoor Azwira memiliki kekuatan tersendiri selain dibarisi para pemain import dan tempatan berkualiti tinggi.

Namun, tegasnya The Rhinos perlu kekal fokus sepanjang perlawanan di laman keramat The Black Panthers bagi memastikan misi tiga direalisasikan dalam perlawanan tersebut.

“Kami harus bangkit dengan mencapai keputusan positif daripada badi kekalahan ketika berdepan Selangor minggu lalu.

“Malah, Sabah perlu kembali berada dalam landasan terbaik bermula dengan aksi berdepan Penang jika ingin mengekalkan rentak untuk merebut slot kelompok tiga teratas Liga Super.

“Hanya berbaki beberapa perlawanan lagi sebelum berakhirnya musim Liga Super 2023,” katanya hari ini.





Mengenai kecederaan beberapa pemain utama, Kim Swee berkata, beberapa pemain mengalami kecederaan selepas perlawanan menentang Selangor.

“Kami tidak perlu risau kerana masih terdapat pemain lain yang mampu menggalas tugas serta mengisi slot mereka yang mengalami kecederaan dan juga penggantungan,” katanya.

Sebagai rekod, Sabah menewaskan Penang 5-2 dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pada 17 Mac lalu.

Kredit: Sinar Harian 
 

Advertisement

Must Watch Video