Pep Guardiola mengesahkan Manchester City telah dilanda satu lagi masalah apabila Ruben Dias perlu diketepikan selama tiga atau empat minggu berikutan kecederaan otot.

Pertahanan itu mengalami kecederaan dalam kekalahan 1-2 kepada Manchester United hujung minggu lalu walaupun beraksi sepanjang 90 minit.

Dias -- yang sudah terlepas tujuh perlawanan musim ini akibat kecederaan betis -- telah membuat 13 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan membantu City mengekalkan tiga rekod tanpa bolos.

Dia bakal terlepas perlawanan dalam tempoh sibuk Krismas ini selain berdepan kesuntukan masa untuk cergas bagi perlawanan Piala FA menentang Salford City dan pertembungan Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada 22 Januari depan.

“Dia akan berehat lama,” kata pengurus kelahiran Sepanyol itu.




"Dia tersisih tiga atau empat minggu kerana masalah otot.

"Ketika menentang United, selepas 75 minit dia mula berasakan sesuatu tetapi dia begitu kuat untuk kekal di atas padang sampaikan tercedera."