Ruben Amorim percaya Manchester United layak menikmati kemenangan dramatik ke atas Manchester City memandangkan mereka percaya hingga wisel penamat sebagaimana era Fergie.

Josko Gvardiol memberikan City pendahuluan dalam separuh masa pertama tetapi dua gol lewat daripada Bruno Fernandes dan Amad Diallo memastikan The Red Devils meraih tiga mata dalam pertembungan 'derby' di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan melancarkan 10 percubaan dengan tiga daripadanya mengenai sasaran, namun majoriti peluang United hadir selepas ketinggalan 0-1 apabila menampilkan prestasi yang lebih baik dalam separuh masa kedua.

Amorim menjadi pengurus kedua yang menewaskan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menerusi dua pasukan berbeza dalam satu kempen selepas Alan Pardew melakukannya -- juga menentang City -- menerusi kemenangan 4-1 ke atas City bersama Sporting CP pada bulan lalu.

Dan dia mencadangkan bahawa United mampu mengulangi era Fergie -- dicipta pada tahun-tahun kendalian Alex Ferguson yang menyaksikan mereka terkenal dengan kemenangan lewat permainan dan kebangkitan luar biasa.

"Ia adalah sesuatu yang luar biasa," katanya kepada BBC Sport.

“Saya rasa kami layak menerimanya.


"Ia adalah perlawanan yang sangat sukar tetapi kami percaya sehingga wisel panamat. Kami berjaya menjaringkan gol, kami memerlukan kemenangan ini, ia penting untuk kami dan peminat.

"Kami berada dalam permainan selama 90 minit dan itu sangat bagus. Kami bercakap tentang perlawanan Arsenal; kami bermain dengan baik dalam separuh masa pertama tetapi mereka tidak menaruh kepercayaan bahawa kami mampu menang. Hari ini jauh lebih berbeza.

"Saya juga percaya. Kemudian kami mengulangi 'masa Fergie', kami menyusun semuanya dan sesuatu yang ajaib berlaku. Ia adalah hari yang baik untuk kami.

"Peminat memerlukannya. Sama seperti kami tetapi anda boleh lihat cara mereka raikan kemenangan adalah istimewa. Tetapi kami perlu teruskan perjuangan. Kelab kami perlu memenangi perlawanan seperti ini. Saya memahami kegembiraan peminat tetapi kami perlu terus berjuang.

"Kami perlu ulangi prestasi seperti kemenangan ke atas City ini. Kami perlu memperbaiki banyak aspek lagi tetapi hari ini mereka layak meraih kemenangan. Mereka bersaing hingga minit terakhir dan itu penting bagi kami."