Cristiano Ronaldo dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Manchester United buat kali keempat susulan musim pertama gemilangnya selepas kembali ke pangkuan kelab itu.

Pemain kebangsaan Portugal itu kembali ke Old Trafford pada September lalu dan memberikan impak segera dengan menjaringkan dua gol ketika menentang Newcastle United dalam perlawanan pertamanya.

Dia kemudian menghasilkan 18 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, di mana hanya Mohamed Salah dan Son Heung-min -- kedua-duanya beraksi lebih lima perlawanan berbanding Ronaldo -- memiliki rekod lebih baik.

Ronaldo menjaringkan keseluruhan 24 gol daripada 38 penampilan buat United dalam kesemua kejohanan musim ini, termasuk jaringan hatrik ke atas Tottenham dan Norwich City dalam saingan liga.



Selepas memenangi lima Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Manchester United sepanjang musim ini, penyerang berusia 37 tahun itu dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan kelab itu, menyamai rekod empat kali yang dimenangi David de Gea sebelum ini.

Sebelum ini, Ronaldo juga pernah memenangi anugerah sama sepanjang tempoh pertamanya, iaitu dalam musim 2003-04, 2006-07 dan 2007-08, sebelum memilih untuk menghabiskan sembilan tahun di Real Madrid dan tiga tahun di Juventus.