Skip to main content

Bola Sepak

Red Giants elak ulangi kesilapan

maniam-150717.jpg
Jurulatih Selangor, P. Maniam, mahu pasukannya memburu gol awal bagi menjejaskan momentum Kedah dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Alor Setar, Ahad ini.

Selangor akan berkunjung ke Stadium Darulaman tanpa sebarang kelebihan selepas tunduk 3-2 kepada Kedah dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Selayang, Sabtu lepas.

Lantaran itu, tiada pilihan buat skuad Gergasi Merah melainkan memburu gol awal untuk mengelak daripada terjerumus dengan corak permainan lawan.

Begitupun, Maniam mengakui bukan mudah untuk merobek kubu skuad Lang Merah di tempat mereka tetapi pada masa sama percaya dengan kemampuan yang ada dalam kesebelasan utama Selangor.

"Pemain Kedah akan bimbang dengan barisan pertahanan Selangor. Saya berharap barisan penyerang saya dapat menyudahkan dengan baik kalaulah mereka mendapat peluang di depan gol," katanya.

Dalam perkembangan sama, Maniam juga ingin melihat benteng pertahanan pasukannya lebih kukuh jika dibandingkan dalam beberapa aksi sebelum ini.

Bolos tiga gol, masing-masing kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah dalam saingan Piala Malaysia selain dua gol ditembusi PKNS FC bagi aksi Liga Super, nyata menghadirkan kegusaran agar perkara sama tidak lagi berulang.

Harapan sekali lagi akan disandarkan kepada pengalaman kapten, Razman Roslan, di samping kelibat tonggak import, Ugochukwu Ukah, bagi mengemudi benteng Selangor daripada ditembusi lawan.

"Kalau boleh di Kedah nanti kami mahu memakai semua pemain penyerang dan pada masa sama, kami perlu meningkatkan mutu pertahanan dan tidak melepaskan gol. Ini adalah kuncinya," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video