BOLA SEPAK
Rasuah RM6 juta: KFA adakan mesyuarat khas
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi membincangkan isu rasuah yang terpalit dengan persatuan berkenaan.
Mesyuarat itu sekali gus mengesahkan penahanan Ketua Pegawai Eksekutif KFA bersama tiga individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan Negeri, Muhamad Radhi Mat Din, berkata kes rasuah itu amat mengejutkannya kerana melibatkan individu yang paling 'bekerja' dalam persatuan terbabit.
Iklan
Oleh itu katanya, mesyuarat berkenaan perlu diadakan untuk mendapat pencerahan dengan lebih terperinci tentang rasuah yang melibatkan jumlah lebih RM6 juta.
"Tapi kami tidak tahu apa di sebalik itu dan kami kena tunggu dahulu laporan berkaitannya.
"Disebabkan itu kami perlu bagi masa untuk proses berkaitan berjalan dan lihat pertuduhan itu datang dari mana," katanya.
Menurutnya, yang juga naib presiden KFA, pihak yang dituduh itu selama ini berperanan membantu membayar hutang KFA.
Semalam, SPRM menahan reman empat individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dua wakil perunding sebuah persatuan bola sepak di utara tanah air selama tiga hari bermula Jumaat sehingga 7 Januari depan.
Kesemua mereka disyaki meminta serta menerima wang rasuah bernilai lebih RM6 juta pada tahun 2020.
--Sinar Harian
Must-Watch Video